X

Kindly register in order to view this article
!

Tak sempat lari ikut laluan rahsia

Antara yang ditahan Jabatan Imigresen Kuala Lumpur dalam Ops Bersepadu malam tadi.
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 20 wanita warga asing yang sedang asyik melayan pelanggan berkaraoke gagal meloloskan diri dalam serbuan pihak berkuasa biarpun premis terbabit mempunyai laluan rahsia yang boleh tembus hingga ke kediaman mereka, di Taman Shamelin Perkasa, di sini malam tadi.

Dalam operasi dilaksanakan Jabatan Imigresen Kuala Lumpur sempena Ops Bersepadu itu, kesemua wanita terbabit dipercayai gadis pelayan pelanggan (GRO) berjaya ditahan Jabatan Imigresen Kuala Lumpur.

Pengarahnya, Hamidi Adam berkata, operasi kira-kira jam 11 malam itu turut menahan tiga lelaki pekerja premis warga Bangladesh.

"Pemeriksaan mendapati GRO terbabit terdiri daripada 17 warga Vietnam dan tiga Indonesia.

"Premis ini disyaki menawarkan khidmat GRO tersebut sebagai peneman berhibur dan sehingga boleh dibawa pulang dengan bayaran mencecah RM600 semalaman," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Dalam pada itu, operasi berasingan turut dilaksanakan di empat premis lain di sekitar Kuala Lumpur membabitkan restoran, pusat hiburan dan rumah kongsi.

Hamidi berkata, operasi itu berjaya menahan 42 warga asing dan seorang lelaki tempatan atas kesalahan imigresen.

"Pecahan tangkapan warga asing terdiri daripada India (14), Bangladesh (21), Indonesia (enam) dan seorang Myanmar. Antara kesalahan utama yang dikesan adalah tinggal lebih masa, tidak memiliki dokumen perjalanan dan disyaki memiliki permit palsu," katanya.

Tegasnya, operasi akan diteruskan daripada semasa ke semasa dalam usaha pihaknya membanteras lambakan pendatang asing tanpa izin.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!