AKSB akan naik taraf LRA Manek Urai

Lori tangki AKSB yang membantu menghantar bekalan air bagi kegunaan penduduk di Kuala Krai (kiri), Penduduk mendapat air yang dihantar melalui lori tangki.
Lori tangki AKSB yang membantu menghantar bekalan air bagi kegunaan penduduk di Kuala Krai (kiri), Penduduk mendapat air yang dihantar melalui lori tangki.
A
A
A

KOTA BHARU - Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) akan menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Manek Urai bagi mengatasi masalah bekalan asas yang dihadapi penduduk di tiga kampung di Mukim Manjor, Kuala Krai.

Pengurus Besar AKSB, Izani Ismail berkata, langkah tersebut ialah antara perancangan pihaknya bagi penyelesaian jangka panjang masalah berkenaan.

Izani
Izani

“Antara perancangan AKSB ialah menaik taraf LRA Manek Urai daripada enam juta liter sehari (JLH) kepada 20 JLH dan juga pembinaan Tangki Imbangan di Chucuh Puteri serta di Kampung Bukit Tebuk.

“Perancangan jangka panjang naik taraf loji ini dijangka dimulakan pada tahun 2026,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini pada Isnin.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, 700 penduduk di Kampung Lela Jasa, Lebur dan Sungai Rek terpaksa menggunakan sumber air dari sungai dengan memasang sendiri paip sejauh lebih satu kilometer bersama pam berenjin sejak lebih setahun lalu.

Izani berkata, gangguan bekalan air di kawasan tersebut adalah bersifat berkala dan sementara sahaja berikutan berlakunya gangguan teknikal di loji berkenaan.

Menurut beliau, hanya 63 akaun aktif melibatkan kawasan itu dan menggunakan LRA Manek Urai sebagai sumber utama bekalan air bersih.

Artikel Berkaitan:

“Jarak jajaran paip utama yang agak jauh iaitu kira-kira 13 kilometer dari LRA Manek Urai dan keadaan geografi kawasan yang berbukit antara faktor merencatkan bekalan air bersih untuk sampai ke rumah pengguna.

“Apabila berlaku gangguan teknikal di LRA Manek Urai, akan mengambil masa melebihi 24 jam untuk bekalan air sampai ke kawasan tersebut,” katanya.

Izani memberitahu AKSB bagaimanapun turut mengambil tindakan proaktif dengan menghantar lori tangki ke kawasan Sungai Rek dan menempatkan sebuah tangki statik berkapasiti 500 gelen di Kampung Lela Jasa untuk membantu penduduk terjejas.

“AKSB juga ingin menasihatkan pengguna agar menyediakan tangki simpanan untuk menyimpan air bersih semasa bekalan air sampai ke rumah pengguna di luar waktu puncak,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!