Wartawan Sinar Harian rangkul hadiah Anugerah Wartawan Muda Said Zahari

Poster Anugerah Wartawan Muda Said Zahari 2023/2024.
Poster Anugerah Wartawan Muda Said Zahari 2023/2024.
A
A
A

SHAH ALAM - Wartawan Sinar Harian, Nurul Nabilah Ahmad Halimy merangkul hadiah utama sempena Anugerah Wartawan Muda Said Zahari 2023/2024 pada Sabtu.

Beliau memenangi anugerah tersebut susulan penulisan laporan khas bersiri bertajuk Bilik sewa ‘sangkar burung’ pada tahun lalu.

Nurul Nabila berkata, kemenangan tersebut merupakan suatu pengiktirafan buat dirinya sepanjang tiga tahun berkhidmat dalam industri media.

Nurul Nabila
Nurul Nabila

Ujarnya, penulisan laporan yang diterbitkan pada 10 Oktober tahun lalu itu, mengambil masa sehingga enam bulan untuk disiapkan sehingga membawa kepada serbuan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta pasukan polis.

“Sejujurnya, saya tidak menyangka akan dinobatkan sebagai pemenang kerana forum itu turut disertai oleh dua orang wartawan bebas yang sangat hebat dan berbakat.

“Saya menganggap kemenangan ini sebagai suatu pengiktirafan buat saya dan rakan sekerja yang turut bersama-sama melaksanakan laporan khas ini iaitu Mohd Shamsul Abd Ghani dan Liza Mokhtar,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Hadiah kemenangan anjuran Pusat Sejarah Rakyat itu turut dikongsi bersama wartawan bebas, Lee Kwai Han melalui artikel bertajuk 'Unlocking Rare Earth Riches in Malaysia’.

Artikel Berkaitan:

Masing-masing membawa pulang wang tunai sebanyak RM1,500 berserta hadiah sagu hati.

Pertandingan menghimpunkan seramai 12 peserta namun hanya tiga calon disenarai pendek bagi pemilihan pemenang pada siri forum berjudul “Di Tengah Rakyat: Menggali Kepengarangan Wartawan Muda”.

Dalam pada itu, Ahli Lembaga Pengarah PSR yang juga juri, Dr Syed Husin Ali berkata, Anugerah Wartawan Muda Said Zahari bagi edisi 2023/2024 itu menghimpunkan seramai 12 orang wartawan melibatkan 17 artikel dalam pelbagai bahasa dipertandingkan.

 Dr Syed Husin Ali
Dr Syed Husin Ali

“Dalam 12 peserta itu, empat orang daripadanya wanita dan lapan lagi adalah lelaki. Apa yang hebatnya daripada empat orang wanita itu, tiga orang telah disenarai pendek.

“Ini bermaksud para wanita lebih hebat dalam pelbagai bidang termasuk kewartawanan muda,” ujarnya.

Syed Husin mewakili barisan juri lain iaitu wartawan senior, Dr Mustafa K Anuar dan ahli akademik, Dr Por Heong Hong.