Fenomena Super El Nino: LKIM diminta tambah stok ikan negara

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu bercakap ketika sidang media pada Program Penyampaian Bantuan Skim Takaful Tanaman Padi di Bendang Belukar hari ini. - Foto Bernama
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu bercakap ketika sidang media pada Program Penyampaian Bantuan Skim Takaful Tanaman Padi di Bendang Belukar hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PASIR MAS - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) diminta memperbanyakkan stok simpanan ikan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan gangguan bekalan makanan susulan Fenomena Super El Nino yang dijangka membawa suhu sehingga 40 darjah celsius.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, keadaan cuaca panas berkenaan berpotensi menjejaskan hasil tangkapan nelayan pantai apabila ikan dijangka bergerak lebih jauh ke tengah laut untuk mencari kawasan yang lebih sesuai.

Menurut beliau, situasi itu boleh memberi kesan kepada nelayan pantai yang menjalankan aktiviti penangkapan ikan dalam lingkungan lima kilometer dari pesisir pantai.

Mohamad (empat,kanan) menyampaikan Skim Takaful Tanaman Padi kepada pesawah pada Majlis Penyampaian Bantuan Skim Takaful
Tanaman Padi dan Ramah Mesra bersama Pesawah Negeri
Kelantan di Bendang Belukar, Pasir Mas pada Rabu.
Mohamad (empat,kanan) menyampaikan Skim Takaful Tanaman Padi kepada pesawah pada Majlis Penyampaian Bantuan Skim Takaful Tanaman Padi dan Ramah Mesra bersama Pesawah Negeri Kelantan di Bendang Belukar, Pasir Mas pada Rabu.

"Kalau cuaca sampai 40 darjah celsius, ia akan menimbulkan masalah kepada aktiviti penangkapan ikan kerana ikan akan bergerak sedikit ke tengah laut.

"Jadi persiapan kita antaranya dengan memperbanyakkan stok ikan," katanya semasa sidang akhbar pada Rabu ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Bantuan Skim TakafulTanaman Padi dan Ramah Mesra bersama Pesawah Negeri Kelantan di Bendang Belukar di sini.

Hadir sama ialah Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Khalid Abdul Samad.

Jelas beliau, arahan sudah diberikan kepada LKIM supaya meningkatkan simpanan ikan bagi membolehkan bekalan berkenaan dikeluarkan kepada rakyat sekiranya berlaku kekurangan di pasaran.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, langkah itu merupakan antara persediaan awal kementerian bagi memastikan bekalan ikan negara tidak terjejas sekiranya perubahan cuaca memberi kesan kepada sektor perikanan.

Dalam perkembangan sama, Mohamad memberitahu, kerajaan juga bersedia melaksanakan langkah intervensi sekiranya fenomena cuaca panas menyebabkan kerosakan tanaman padi dan menjejaskan pengeluaran beras negara.

Bagaimanapun kata beliau, bentuk bantuan atau intervensi yang akan dilaksanakan bergantung kepada keadaan serta kesan sebenar yang berlaku ketika itu.

Menurutnya, persediaan awal penting bagi memastikan sektor pertanian dan perikanan negara terus berdaya tahan dalam menghadapi ancaman perubahan cuaca.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!