Guru ICT SK Bagan Serai rangkul dua Anugerah MEA kelolaan MCMC

Mohamad Salim (tengah) menyampaikan Anugerah Superstar Award (Anugerah Khas Keseluruhan MEA 2022) kepada Guru dari Sekolah Kebangsaan Bagan Serai, Kerian Perak, Azharul Faiz Zainal Abidin (kanan) pada Majlis Malaysia ICT Volunteer (MIV) Excellence Awards 2023 (MEA 2023) di Auditorium MCMC, pada Rabu. - Foto Bernama
Mohamad Salim (tengah) menyampaikan Anugerah Superstar Award (Anugerah Khas Keseluruhan MEA 2022) kepada Guru dari Sekolah Kebangsaan Bagan Serai, Kerian Perak, Azharul Faiz Zainal Abidin (kanan) pada Majlis Malaysia ICT Volunteer (MIV) Excellence Awards 2023 (MEA 2023) di Auditorium MCMC, pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

CYBERJAYA - Seorang guru teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bagan Serai, Perak yang gigih mengetengahkan aspek keselamatan siber kepada anak muridnya menerima dua Anugerah Kecemerlangan Sukarelawan ICT Malaysia 2023 (MEA 2023), pada Rabu.

Azharul Faiz Zainal Abidin, 42, yang juga Penolong Kanan Kokurikulum SK Bagan Serai muncul sebagai Sukarelawan Terbaik Keseluruhan MEA 2023 yang menerima Anugerah Cemerlang bagi kategori Sukarelawan ICT Malaysia (MIV) Bersama Sekolah dan Anugerah Bintang Handalan bagi kategori Anugerah Khas MIV.

Ditemui pemberita selepas majlis MEA 2023 di sini, Azharul Faiz berkata, beliau memilih untuk melaksanakan projek tentang keselamatan siber dan program celik ICT memandangkan isu melibatkan penipuan dan berita palsu di internet semakin berleluasa.

"Projek dijalankan dari Mac hingga Oktober lepas dengan kerjasama Kelab Pencegahan Jenayah sekolah dan seluruh warga pendidik. Jenis program yang dianjurkan adalah sebaran maklumat mengenai keselamatan siber dan aktiviti klik dengan bijak,” katanya yang diraikan bersama-sama 21 pemenang MEA 2023 yang lain.

Mesra disapa dengan panggilan Cikgu Faiz berkata, beliau telah melaksanakan pelbagai aktiviti inovasi sebelum ini melibatkan konsep ICT antaranya 'Jom Sifir' iaitu aplikasi yang membolehkan pengguna membuat latihan sifir menerusi telefon pintar.

Mohamad Salim (belakang empat, kanan) bergambar kenangan bersama para penerima anugerah pada Majlis Malaysia ICT Volunteer (MIV) Excellence Awards 2023 (MEA 2023) di Auditorium MCMC, pada Rabu. - Foto Bernama
Mohamad Salim (belakang empat, kanan) bergambar kenangan bersama para penerima anugerah pada Majlis Malaysia ICT Volunteer (MIV) Excellence Awards 2023 (MEA 2023) di Auditorium MCMC, pada Rabu. - Foto Bernama

MIV yang diperkenalkan sejak 2016 merupakan projek kelolaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan sehingga kini telah melatih 10,247 sukarelawan daripada pelbagai latar belakang yang mampu memajukan dan menghasilkan aplikasi serta perkhidmatan ICT yang memberi manfaat dalam kehidupan seharian.

Antara khidmat lain yang diberikan oleh sukarelawan MIV adalah melaksanakan strategi pemasaran dalam talian bagi membantu pengusaha tempatan memasarkan produk, mendidik penggunaan ICT secara berhemah dan memupuk kesedaran masyarakat terhadap mesej advokasi MCMC.

Artikel Berkaitan:

Dua lagi penerima anugerah bagi kategori MIV Bersama Sekolah ialah Tan Ke Sin dari Pulau Pinang dan Jessica James Sikain dari Tawau, Sabah.

Kategori lain di bawah MEA antaranya Individu MIV Bersama Komuniti dan Kandungan MIV Terbaik.

Sementara itu, Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dalam ucapannya berharap pemberian anugerah itu memberikan suntikan semangat kepada sukarelawan lain untuk tampil berkongsi idea, kemahiran dan kepakaran dalam melaksanakan projek berimpak tinggi untuk komuniti.

"MCMC akan melabur lagi dalam kesemua program ini bagi memastikan kami mencapai satu tahap perkhidmatan sukarela yang amat tinggi di luar sana, jadi ia akan memberikan khidmat dalam setiap aspek rakyat di bandar, separuh bandar dan luar bandar,” katanya. - Bernama