Super El Nino: Suhu sehingga 40 darjah celsius ancam tanaman, KPKM sedia laksana pembenihan awan

Mohamad (dua,kanan) menyampaikan Skim Takaful Tanaman Padi kepada pesawah pada Majlis Penyampaian Bantuan Skim Takaful Tanaman Padi dan Ramah Mesra bersama Pesawah Negeri Kelantan di Bendang Belukar, Pasir Mas pada Rabu. Foto: SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
Mohamad (dua,kanan) menyampaikan Skim Takaful Tanaman Padi kepada pesawah pada Majlis Penyampaian Bantuan Skim Takaful Tanaman Padi dan Ramah Mesra bersama Pesawah Negeri Kelantan di Bendang Belukar, Pasir Mas pada Rabu. Foto: SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
A
A
A

PASIR MAS - Fenomena Super El Nino yang dijangka membawa suhu sehingga 40 darjah celsius mencetuskan kebimbangan terhadap sektor pertanian negara apabila keadaan cuaca panas dan kekurangan hujan berisiko menjejaskan bekalan air serta tanaman.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kementeriannya bersedia melaksanakan operasi pembenihan awan dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah sekiranya keadaan cuaca menjadi semakin kritikal.

Menurut beliau, langkah itu antara persediaan menghadapi perubahan cuaca yang dijangka berlaku selepas Monsun Timur Laut (MTL), termasuk kemungkinan berdepan fenomena Super El Nino yang disifatkan luar biasa.

"Super El Nino ini kita belum berpengalaman. Sepanjang hidup saya pun tidak pernah lagi berhadapan dengan keadaan seperti ini yang dijangka suhunya boleh mencapai sehingga 40 darjah Celsius," katanya semasa sidang akhbar pada Rabu ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Bantuan Skim Takaful Tanaman Padi dan Ramah Mesra bersama Pesawah Negeri Kelantan di Bendang Belukar di sini.

Hadir sama ialah Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Khalid Abdul Samad.

Mohamad memberitahu, pembenihan awan bagaimanapun bergantung kepada keadaan atmosfera kerana operasi itu memerlukan kewujudan awan bagi membolehkan proses menghasilkan hujan dilakukan.

"Kalau hujan tidak turun berturut-turut begitu lama, kita cuba pembenihan awan. Namun, kalau langsung tiada awan atau hanya sedikit, ia tidak semestinya berjaya menghasilkan hujan," katanya.

Menurut beliau, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bersama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah akan bergabung tenaga bagi menilai keperluan pelaksanaan operasi berkenaan sekiranya berlaku keadaan darurat.

Jelasnya, jika paras air menyusut sehingga ke tahap kritikal, keutamaan bekalan air mungkin terpaksa diberikan kepada kegunaan domestik, manakala pengairan sawah berkemungkinan ditangguhkan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, kata beliau situasi itu masih pada peringkat persediaan dan kementerian berharap keadaan tidak sampai ke tahap berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad memberitahu, penanaman padi di kawasan KADA dijangka diteruskan mengikut jadual biasa tanpa sebarang perubahan setakat ini.

Katanya, KADA juga sudah menyediakan kemudahan tambahan termasuk pam air dan sistem takungan bagi memastikan bekalan air dapat disalurkan ke kawasan sawah sekiranya berlaku kekeringan.

"Kalau berlaku kekeringan, pam air yang disediakan itu akan berfungsi sepenuhnya dan mungkin kita tambah lagi pam untuk tujuan pengairan," katanya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap kawasan penanaman padi di Kedah yang mempunyai kebergantungan tinggi kepada bekalan air empangan, termasuk Empangan Pedu.

Bagaimanapun, ujar beliau, paras air Empangan Pedu ketika ini masih berada pada tahap baik, namun keadaan boleh berubah sekiranya hujan tidak turun dalam tempoh yang panjang.

Mengulas keadaan cuaca semasa, beliau berkata, angin Monsun Timur Laut ketika ini membawa hujan lebat terutama di selatan Semenanjung membabitkan Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Namun ujar beliau, taburan hujan tahun ini dijangka tidak seteruk beberapa tahun lalu yang mengakibatkan banjir besar di negeri berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!