Isu kesesakan murid perlu penyelesaian segera

Laporan muka depan Sinar Harian pada Sabtu.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Sabtu.
A
A
A

MASALAH kepadatan pelajar atau murid di sekolah perlu diselesaikan segera dan menyeluruh.

Isu tersebut bukan perkara baharu, malah sudah berkali-kali guru menyuarakan kebimbangan mereka terhadap masalah tersebut.

Sebelum ini, tular satu hantaran di laman Facebook komuniti setempat memaparkan situasi kepadatan murid Tahun 1 yang kemudiannya mengundang pelbagai reaksi ibu bapa dan warganet.

Difahamkan, jumlah keseluruhan kelas yang dibuka kepada murid sekolah itu adalah 13 kelas.

Timbul cadangan supaya kerajaan mewajibkan pemaju membina sekolah di kawasan perumahan baharu yang mempunyai lebih 500 unit kediaman, bagi mengatasi isu kesesakan murid.

Ini kerana pembinaan bangunan tambahan bukan penyelesaian jangka panjang apabila kawasan perumahan di negara ini dibina tanpa sebarang perancangan yang holistik apabila keperluan pendidikan tidak menjadi keutamaan.

Setiap tahun pihak pemaju hartanah akan membuka kawasan baharu dengan pelbagai fasiliti, namun mereka gagal untuk seimbangkan setiap kemudahan di kawasan tersebut.

Misalnya, pembinaan 500 unit rumah tidak dilengkapi kemudahan sosial seperti klinik kesihatan, sekolah, bangunan perniagaan dan lain-lain, menyebabkan mereka terpaksa keluar dari kawasan terbabit untuk mendapatkan kemudahan.

Artikel Berkaitan:

Kegagalan ini menyebabkan semua pihak terpaksa bergantung dengan satu sekolah sehingga mengakibatkan kemudahan yang diterima sangat terhad kerana kapasiti murid terlalu ramai.

Kerajaan perlu memikirkan cara untuk mengatasi masalah tersebut terutama di kawasan bandar kerana proses urbanisasi yang semakin pesat menyebabkan pertambahan penduduk khususnya di kawasan Lembah Klang.

Pembangunan penempatan tidak salah, namun ia perlu dilengkapi dengan kemudahan sosial dan pendidikan kerana kepadatan murid akan memberi tekanan hebat kepada guru.

Bagaimana pendidikan di negara ini akan maju jika isu pendidikan di peringkat rendah dan menengah masih gagal untuk diatasi?

Kepadatan pelajar di kawasan bandar sangat serius manakala di kawasan luar bandar mahupun pedalaman pula mengalami masalah kekurangan murid.

Kedua-dua situasi itu bukan sesuatu yang boleh dibanggakan, sebaliknya perlu diatasi secara menyeluruh supaya pelajar dapat memberi tumpuan secara optimum manakala guru memberi khidmat bakti dengan baik.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28