Ringgit dijangka berlegar paras 4.69-4.70 minggu depan

Ringgit dijangka diniagakan sekitar paras 4.69 hingga 4.70 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan. Gambar hiasan
Ringgit dijangka diniagakan sekitar paras 4.69 hingga 4.70 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan. Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT dijangka diniagakan sekitar paras 4.69 hingga 4.70 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan ketika pasaran menumpukan perhatian terhadap mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) negara maju itu yang dijadualkan pada 19 dan 20 Mac ini.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, sebelum mesyuarat berkenaan, bank pusat Jepun iaitu Bank of Japan (BoJ) akan turut mengadakan mesyuarat dasar monetarinya pada 18 dan 19 Mac 2024.

Pasaran akan memantau secara teliti sebarang keputusan oleh bank pusat Jepun, termasuk kemungkinan BoJ menamatkan dasar kadar faedah negatif (NIRP) dan kawalan lengkung hasil (YCC) berikutan persetujuan syarikat-syarikat besar Jepun menaikkan gaji sebanyak 5.28 peratus bagi 2024 yang dilihat boleh meningkatkan lagi kadar inflasi.

Mohd Afzanizam berkata, pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) akan menumpukan aspek kritikal Fed Dot Plot yang juga tinjauan dalam kalangan anggota bank pusat itu mengenai Kadar Dana Fed.

Pada Disember lepas, kalangan kakitangan Fed mengunjurkan pengurangan kadar faedah sebanyak tiga peratus pada tahun ini.

"Sebarang penolakan terhadap tahap dasar akomodatif akan meningkatkan nilai dolar AS. Sehubungan itu, ringgit dijangka diniagakan sekitar RM4.69 hingga RM4.70 pada minggu depan," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Kenanga Research berkata, ketika pasaran memberi perhatian terhadap mesyuarat akan datang FOMC, tarikan dolar AS yang dilihat sebagai aset selamat mungkin berterusan, seiring dengan daya tahan ekonomi negara maju itu.

Menurutnya, kecuali terdapat petunjuk jelas mengenai penurunan akan datang, penyusutan dolar AS mungkin kekal sebagai andaian, khususnya berikutan unjuran BoJ boleh bertindak menangguhkan sebarang langkah penting sehingga April dan bukan seawal minggu depan.

Artikel Berkaitan:

"Namun, potensi sokongan bagi ringgit akan menjadi kenyataan jika data utama China dan angka perdagangan Malaysia terbukti melangkaui jangkaan,” kata cabang penyelidikan Kenanga Investment Bank Bhd.

Malah, prospek rirggit-dolar AS dilihat neutral minggu depan, dengan gandingan itu diunjur bergerak sekitar purata pergerakan eksponen (EMA) lima hari sebanyak 4.695.

"Secara teknikalnya, ringgit-dolar AS boleh diniagakan pada julat 4.687 hingga 4.713. Bagaimanapun, permintaan ketara terhadap dolar AS mungkin menjejaskan ringgit," katanya.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, ringgit turun ke paras 4.7050/7095 berbanding dolar AS daripada 4.6815/6855 pada minggu sebelumnya.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding kebanyakan mata wang utama, termasuk meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1637/1669 daripada 3.1821/1850 pada minggu lepas.

Ringgit juga mengukuh berbanding pound Britain kepada 6.0003/0060 daripada 6.0050/0101 namun rendah berbanding euro pada 5.1275/1324 daripada 5.1188/1231, sebelum ini.

Selain itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Unit tempatan itu mengukuh pada 13.1480/1661 berbanding baht Thailand daripada 13.2134/2321 pada Jumaat lepas, namun rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.5183/5219 daripada 3.5160/5192 seminggu lepas.

Ringgit rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 301.5/302.0 daripada 300.2/300.6 pada Jumaat lepas dan susut berbanding peso Filipina pada 8.47/8.48 daripada 8.42/8.43, minggu lepas. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28