Minyak diesel untuk pasaran gelap disita

Pihak KPDN mendapati dua nozel sedang berada di tangki lori muatan satu ketika serbuan dilakukan menerusi Ops Tiris 3.0 di sebuah stesen minyak di Jalan Temoh di sini pada Khamis.
Pihak KPDN mendapati dua nozel sedang berada di tangki lori muatan satu ketika serbuan dilakukan menerusi Ops Tiris 3.0 di sebuah stesen minyak di Jalan Temoh di sini pada Khamis.
A
A
A

TAPAH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak membanteras kegiatan penyelewengan dan ketirisan barang kawalan minyak diesel bersubsidi menerusi Ops Tiris 3.0 di sebuah stesen minyak di Jalan Temoh dekat sini pada Khamis.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, operasi digerakkan sepasukan pegawai dan anggota Penguat kuasa KPDN Perak Cawangan Tapah kira-kira jam 9 malam hasil maklumat orang awam dan risikan yang dijalankan selama seminggu.

Menurutnya, melalui risikan dan pemantauan yang dijalankan mendapati modus operandi sindiket ini adalah dengan cara membuat pengisian minyak diesel ke tangki asal lori yang telah diubahsuai dengan sambungan paip terus ke tangki fiber yang disembunyikan di atas lori.

Pegawai penguat kuasa KPDN sedang memeriksa lori satu tan ketika serbuan dilakukan menerusi Ops Tiris 3.0 di sebuah stesen minyak di Jalan Temoh di sini pada Khamis.
Pegawai penguat kuasa KPDN sedang memeriksa lori satu tan ketika serbuan dilakukan menerusi Ops Tiris 3.0 di sebuah stesen minyak di Jalan Temoh di sini pada Khamis.

"Ketika serbuan dilakukan, dua nozel sedang berada di tangki lori muatan satu tan. Dianggarkan adalah sebanyak antara 1,000 hingga 1,500 liter sekali pengisian di stesen minyak tersebut. Siasatan awal juga mendapati, pemandu kenderaan ini kemudiannya akan menjual minyak diesel ini kepada pasaran gelap yang disyaki melibatkan beberapa syarikat di sekitar Tapah pada harga yang lebih tinggi.

"Minyak diesel bersubsidi yang dibeli di stesen minyak dengan harga RM2.15 per liter boleh dijual di pasaran gelap pada harga RM3 hingga RM4 per liter mengikut harga pasaran minyak diesel industri," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kamalludin berkata, berdasarkan semakan awal yang dibuat mendapati syarikat lori terbabit tidak mempunyai apa-apa kebenaran atau permit yang sah daripada Pengawal Bekalan Malaysia untuk membeli minyak diesel dalam suatu kuantiti yang banyak.

Menurutnya, hasil pemeriksaan juga turut menemui cecair yang disyaki minyak diesel dianggarkan sebanyak 1,137 liter di dalam satu tangki fiber berkapasiti 3,000 liter yang berada di dalam lori berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, cecair yang disyaki minyak diesel serta lori bersama beberapa peralatan lain seperti mesin pam, wayar hos dan lain-lain telah disita untuk tindakan selanjutnya dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM22,085.

"Seorang lelaki warga tempatan berumur dalam lingkungan 40-an yang merupakan pemandu lori telah ditahan untuk siasatan lanjut manakala stesen minyak yang disyaki terlibat juga akan disiasat di bawah peruntukan sedia ada termasuklah syor pembatalan Lesen CSA (barang-barang kawalan berjadual) Runcit barang kawalan minyak diesel jika didapati bersalah terlibat dalam penyelewengan ini.

"Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. KPDN juga memberi amaran dan menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam aktiviti atau sindiket penyalahgunaan barang-barang kawalan seperti minyak diesel bersubsidi ini dan akan memastikan tindakan lebih tegas termasuklah pendakwaan di mahkamah.," katanya lagi.