Projek rintis diesel bersubsidi diperluas ke sembilan kenderaan barangan

 Armizan
Armizan
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengumumkan Fasa II Projek Rintis Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0) akan diperluas kepada syarikat sektor pengangkutan darat (barangan) mulai esok.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, projek berkenaan melibatkan sembilan jenis kenderaan iaitu lori kargo am, minuman botol, refrigerated, luton atau kotak, penggerak utama, tangki tepung, tangki air, van panel dan van tingkap.

Menurut beliau, fasa kedua dilaksanakan hasil kerjasama KPDN dengan lima syarikat minyak sebagai usaha memperluaskan lagi projek rintis itu.

"Permohonan boleh dibuat bermula Khamis iaitu 7 Mac 2024 pada jam 9 pagi melalui Sistem MySubsidi Diesel KPDN di pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my/.

"Syarat permohonan adalah syarikat hendaklah berdaftar di Malaysia, kenderaan barangan milik syarikat pemohon, mempunyai cukai jalan yang sah dan hanya sembilan jenis kenderaan disenaraikan terlibat dalam Fasa II Projek Rintis," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Januari lalu, fasa pertama bagi projek itu berjaya dilaksanakan dengan penglibatan daripada enam syarikat perintis dalam sektor pengangkutan darat (barangan).

Tambah beliau, setelah mendapat kelulusan di bawah sistem MySubsidi Diesel KPDN, organisasi tersebut boleh mendapatkan 'Fleet Card' daripada syarikat minyak pilihan untuk pembelian diesel bersubsidi.

Jelasnya, penggunaan kad itu antara usaha untuk beralih daripada kaedah manual ke teknologi digital dalam mengawal selia barang bersubsidi yang dipertanggungjawabkan di bawah KPDN.

Artikel Berkaitan:

“Perluasan penggunaan Fleet Card kepada sektor pengangkutan darat (barangan) di bawah Fasa II Projek Rintis SKDS 2.0 adalah untuk menambah baik kaedah kawal selia dalam pemberian diesel bersubsidi kepada kenderaan yang layak.

“KPDN dan Kementerian Kewangan (MOF) juga sedang meneliti keperluan perluasan projek berkenaan bagi jenis kenderaan sektor pengangkutan darat (barangan) lain yang bersesuaian bagi menangani risiko ketirisan serta penyeludupan diesel bersubsidi dengan lebih cekap,” katanya.

Ujar beliau, kaedah digital itu juga dapat membantu mengurangkan kos kawalan dan penguatkuasaan yang dibuat secara fizikal.

Menurutnya, untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut berkaitan Fasa II Projek Rintis SKDS 2.0 boleh dirujuk kepada Pusat Panggilan Sistem MySubsidi Diesel di talian 03-8882 5917/ 6176/ 5894/ 5893 bermula jam 8 pagi sehingga 5 petang pada hari bekerja.

“Bagi sebarang persoalan mengenai permohonan Fleet Card syarikat-syarikat minyak boleh terus dirujuk melalui platform perhubungan seperti Petronas (1-300-88-8181), Shell (1-300-22-8181), Petron (1-800-88-8298), Caltex (1-800-88-3168) dan BHP (03-77199499),” tambah Armizan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!