X

Kindly register in order to view this article
!

KGMMB harap Tun M teruskan pengajaran jawi di sekolah

Gambar hiasan. Gambar kecil: Jasni dan Ahmad Shamsuddin
A
A

SHAH ALAM - Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) menyambut baik pelantikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pemangku Menteri Pendidikan.

Presidennya, Jasni Md Kechik berkata, Dr Mahathir sebagai pemangku Menteri Pendidikan diyakini dapat menangani corak pendidikan negara ke arah yang lebih baik.

"Dengan pelantikan ini, KGMMB berharap Tun (Dr Mahathir) dapat meneruskan rancangan-rancangan Kementerian Pendidikan yang terdahulu dan boleh menyatukan seluruh rakyat Malaysia.

"Beliau berpendirian tegas dan tidak tunduk kepada tekanan pihak pihak tertentu dan melaksanakan dasar-dasar terdahulu dan akan dilaksanakan termasuk dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)," katanya.

Dalam masa sama, KGMMB juga berharap Dr Mahathir dapat terus memperkasakan Bahasa Melayu dan meneruskan pengajaran jawi di peringkat sekolah seperti mana usaha dijalankan sebelum ini.

Semalam Kabinet setuju melantik Dr Mahathir sebagai pemangku Menteri Pendidikan sehingga Menteri Pendidikan baharu dilantik bagi menggantikan Dr Maszlee Malik yang meletak jawatan.

Sementara itu, Pengerusi Biro Pembangunan Modal Insan Badan Permuafakatan Pendidikan Mara Malaysia (Muafakat), Datuk Ahmad Shamsuddin Ramli berkata, pemilihan Dr Mahathir untuk mengisi jawatan pemangku Menteri Pendidikan adalah tepat.

ARTIKEL BERKAITAN: PM pangku jawatan Menteri Pendidikan

Menurutnya, Dr Mahathir sebelum ini juga pernah mencadangkan model Sekolah Wawasan yang pernah dilancarkan di bawah pentadbirannya sebagai Perdana Menteri keempat pada 1997.

Katanya, cadangan Sekolah Wawasan yang dicetuskan Perdana Menteri selepas cadangan agar semua rakyat pelbagai kaum menghantar anak ke sekolah kebangsaan tidak diterima wajar diteruskan selepas ini.

"Idea Sekolah Wawasan ini cukup bernas namun tidak dapat diimplementasikan pada waktu itu di negara kita yang berbilang kaum ini dan situasi pendidikan negara kini Sekolah Wawasan perlu diteruskan.

"Jadi pelantikan Dr Mahathir sebagai pemangku Menteri Pendidikan adalah tepat dalam menyahut saranan kerajaan menuju Wawasan Kemakmuran 2030," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus