Jerebu akibat pembakaran terbuka di Sabah semakin membimbangkan

Cahaya matahari ditutupi asap kebakaran hutan dekat Pekan Papar pada Rabu lepas. Foto Bernama
Cahaya matahari ditutupi asap kebakaran hutan dekat Pekan Papar pada Rabu lepas. Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Keadaan jerebu akibat pembakaran terbuka di negeri ini semakin membimbangkan walaupun bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di negeri ini kebanyakannya pada tahap sihat.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Farhan Sufyan Borhan berkata, meskipun tahap kualiti udara di negeri itu masih tidak berbahaya, penduduk harus menghentikan pembakaran terbuka bagi memastikan kualiti udara bertambah baik.

"Jerebu dan kualiti udara kita pada masa ini amat membimbangkan, malah pembakaran terbuka terutama melibatkan hutan dan belukar baru-baru ini lebih teruk berbanding sebelumnya. Kita harapkan kerjasama semua supaya tidak lakukan pembakaran terbuka,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita pada operasi memadam kebakaran terbuka di Menggatal di sini, yang merupakan kes kebakaran ke-10 dihadapi pasukan itu pada Khamis.

Pada Rabu, Pengarah JBPM Sabah, Abdul Razak Muda berkata, pihaknya merekodkan 961 kes kebakaran terbuka sejak Januari lepas hingga Rabu melibatkan kes kebakaran belukar, lalang, kebun, ladang, hutan dan gambut di seluruh Sabah.

Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar, hanya Kimanis di Papar iaitu kira-kira 62 kilometer dari Kota Kinabalu mencatat bacaan IPU 135 iaitu bacaan tidak sihat setakat 8 malam ini, manakala kebanyakan IPU di Sabah berada pada tahap sederhana.

Mengulas mengenai operasi pemadaman itu, Farhan Sufyan berkata, pemadaman kebakaran terbuka itu dijalankan di kawasan seluas 8.09 hektar, dan perlu dijalankan dengan kadar tuntas supaya ia tidak merebak ke Sekolah Tunas Bakti juga kawasan perumahan berhampiran.

"Kita juga menggunakan unit dron untuk memantau kebakaran itu dan memastikan api tidak merebak ke kawasan lebih besar,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28