86,177 tan sisa makanan dilupus pada Ramadan tahun lalu

Ahmad Zahid (berdiri dua, kanan) menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim yang hadir pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di pekarangan Masjid Jamek Pekan Layang-Layang, Simpang Renggam pada Khamis. Foto Bernama
Ahmad Zahid (berdiri dua, kanan) menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim yang hadir pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di pekarangan Masjid Jamek Pekan Layang-Layang, Simpang Renggam pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

KLUANG - Sisa pepejal yang dilupuskan sepanjang Ramadan tahun lalu direkodkan berjumlah 243,095 tan dengan 86,177 tan daripadanya merupakan sisa makanan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, angka itu seharusnya menjentik hati umat Islam berfikir sejenak betapa besar jumlah pembaziran yang dilakukan.

"Saya ingin kongsikan data sisa pepejal yang dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan SWCorp, tahun lalu, menunjukkan kita menghasilkan sisa makanan berjumlah 17,379 tan sehari bersamaan 473 gram untuk setiap individu di Malaysia sehari.

"Ini merupakan satu jumlah yang tinggi dan amat merugikan. Bagi tahun 2023, purata bulanan sisa pepejal yang dilupuskan dalam bulan Ramadan berjumlah 243,095 tan dan 86,177 tan daripadanya adalah sisa makanan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Iftar Santunan Kasih Ramadan di Masjid Jamek Layang-layang di sini pada Khamis.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid berbuka puasa bersama lebih 2,000 masyarakat setempat dan menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak yatim.

Program Iftar Santunan Kasih Ramadan anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) tahun ini bermula di Kluang, Johor diikuti Tanah Merah, Kelantan; Dungun, Terengganu; Trolak, Perak; Nibong Tebal, Pulau Pinang; Labuan; Pendang, Kedah; Kuala Langat, Selangor dan berakhir di Bagan Datuk, Perak.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Islam mendidik umatnya untuk tidak membazir dan berlebih-lebihan dalam berbelanja.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Ramadan adalah medan bagi kita mengawal nafsu, bersyukur dengan kecukupan rezeki dikurniakan ALLAH dan memupuk nilai kesederhanaan.

"Oleh itu, saya menyeru marilah kita jadikan madrasah Ramadan ini sebagai tempoh latihan untuk mendisiplinkan diri membeli apa yang perlu, berkongsi rasa kesusahan golongan memerlukan serta pada masa yang sama semai sikap berjimat cermat.

"Semoga Ramadan kali ini kita dapat membantu negara mengurangkan sisa makanan mahu pun sisa pepejal serta mendidik diri dan keluarga dengan sikap berhemah," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28