'Harga makanan di bazar Ramadan kekal, ada untung tapi sedikit'

Pengunjung berbaris untuk membeli martabak di bazar Ramadan di Taman Kerang pada Khamis.
Pengunjung berbaris untuk membeli martabak di bazar Ramadan di Taman Kerang pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Harga makanan dan minuman di kebanyakan bazar Ramadan di sekitar bandar raya ini disifatkan mampu milik.

Tinjauan di beberapa lokasi bazar Ramadan di sini mendapati masih ada peniaga yang mengekalkan harga makanan dan minuman.

Namun, ada juga segelintir peniaga terpaksa menaikkan harga antara 50 sen hingga RM2 susulan peningkatan kos bahan mentah.

Harga air dijual sekitar RM3 bagi gelas saiz kecil dan RM5 bagi saiz besar manakala harga kuih bermula RM3 hingga RM5.50 bergantung pada jenis, saiz, kuantiti dan bekas yang digunakan.

Peniaga nasi ayam, Rahimah Abdul Kadir, 34, berkata, harga nasi ayam masih dijual sekitar RM7 sama seperti sebelum Ramadan.

Kelihatan pengunjung turut membeli air balang.
Kelihatan pengunjung turut membeli air balang.

"Dia mengakui berlaku kenaikan kos bahan mentah, namun masih harga makanan dikekalkan dengan margin untung sedikit.

"Untung itu ada, tapi tak banyaklah, tapi kalau jualan kita banyak, adalah rezekinya itu," katanya pada petang Khamis.

Artikel Berkaitan:

Penjual kuih, Zamri Abu Hassan, 55, menjelaskan harga kuih -muih ada kenaikan sehingga 50 sen.

"Kenaikan paling ketara ialah popia goreng yang dulu RM2 lima biji, tapi sekarang 50 sen sebiji.

"Karipap, kuih lapis, dan lain kuih-muih masih harga sama iaitu sekitar RM3 hingga RM6 sebekas.

"Saya kalau boleh tidak mahu naikkan harga, tapi kos tinggi. Jadi sedaya upaya cuba tawarkan harga mampu milik kepada pengguna," ujarnya yang lebih 25 tahun menjual kuih muih.

Bagi pengguna, Mohd Azriq Ramli, 28, berkata, pembeli perlu bijak dalam memilih dan membeli juadah berbuka puasa.

Katanya, berdasarkan pemantauan di bazar Ramadan di sini mendapati harga makanan di Pahang jauh lebih mahal jika dibandingkan negeri asalnya di Kelantan.

“Apa pun kena pandai pilih. kalau tiada RM20 jangan datang bazar. Nasi sahaja sudah berbelas ringgit jadi kalau air dan kuih murah dapat dalam bajet RM20 gitu," keluhnya.

Bagi penuntut di sebuah kolej, Amirah Akilah, 28, yang pertama kali berkunjung ke bazar Ramadan di sini mengakui harga makanan yang ditawarkan mampu milik berbanding di Kuala Lumpur.

"“Harga di bazar boleh tahan (seimbang). Kami bajet RM20 sehari ini air dan nasi dapat.

"Kalau bukan bulan puasa pun harga lebih kurang,” katanya yang memasak bersama rakannya rumah sewanya ketika bersahur.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28