Guru wanita, pesara bomba rugi RM243,000 terpedaya pulangan lumayan

Gambar hiasan. Foto 123RF
Gambar hiasan. Foto 123RF
A
A
A

KUANTAN - Dua individu terpaksa berputih mata selepas menjadi mangsa skim pelaburan tidak wujud dalam talian sehingga mengakibatkan kerugian RM243,000.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, dalam kes berasingan itu, kedua-dua mangsa yang merupakan seorang guru dan pesara bomba tampil membuat laporan polis, masing-masing di Bentong dan Kuantan pada Rabu.

Menurutnya, mangsa pertama melibatkan seorang guru wanita berusia 41 tahun berlaku pada 11 Mac lalu selepas berurusan dengan seorang suspek melalui aplikasi Tinder.

"Mangsa telah diminta mendaftar melalui laman sesawang sebuah skim pelaburan yang menawarkan keuntungan tinggi.

"Terpengaruh dengan pulangan lumayan, mangsa akur sehingga membuat 11 transaksi bayaran melalui empat akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM116,000," katanya melalui kenyataan pada Khamis.

Yahaya berkata, setelah semua wang dipindahkan, mangsa mendapati platform miliknya dalam laman sesawang tersebut telah disekat.

"Suspek memberitahu mangsa bukan ahli yang sah dalam platform pelaburan tersebut dan meminta sejumlah bayaran untuk mendaftar," katanya.

Beliau berkata, mangsa bagaimanapun menyedari ditipu selepas wang dari hasil simpanan dan pinjaman peribadi 'lesap'.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu katanya, mangsa kedua yang juga pesara bomba kerugian RM127,000 selepas terpedaya dengan iklan pelaburan wang ajaib yang menawarkan keuntungan sehingga RM800,000 dengan modal pelaburan serendah RM2,000.

"Mangsa berusia 61 tahun menerima iklan skim pelaburan itu melalui pesanan di aplikasi Tik Tok pada 13 Mac lalu.

"Mangsa dipercayai dipujuk menyertai pelaburan tersebut dengan hanya melaburkan sejumlah wang dan menunggu keuntungan masuk," katanya.

Terpedaya dengan tawaran itu, mangsa menggunakan wang simpanannya untuk membuat transaksi bayaran sebanyak empat kali ke akaun bank berasingan sebelum menyedari ditipu.

Katanya, kedua-dua kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28