Kerajaan pertimbang guna kaedah pajakan untuk aset pengangkutan

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke . Gambar fail Bernama
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke . Gambar fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang mempertimbangkan model baharu dengan mengguna pakai kaedah pajakan terhadap mana-mana produk, aset dan perkhidmatan pengangkutan seperti tren bagi memaksimumkan jangka hayatnya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, menerusi kaedah ini kerajaan tidak lagi memfokuskan kepada usaha membeli aset baharu, sebaliknya menggunakan kaedah yang membolehkan pihak melakukan pajakan turut bertanggungjawab terhadap aspek penyelenggaraan.

"Tak perlu kita beli aset baharu, tapi kita pajak produk dan kemudahan itu sebab banyak sektor pengangkutan terutama syarikat penerbangan, mereka tidak beli pesawat mereka pajak pesawat itu.

"Kalau kita pajak ia juga merangkumi proses penyelenggaran supaya pihak yang pajak aset itu mereka juga bertanggungjawab untuk pastikan aset dapat digunakan secara maksimum sepanjang masa termasuk penyelenggaraan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan tambahan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) berhubung perancangan Kementerian Pengangkutan dalam menguruskan isu penyelenggaraan tren yang dianggarkan menelan kos lebih kurang RM250 juta supaya tidak berlaku masalah teknikal sepanjang musim perayaan.

Anthony yang mengakui isu penyelenggaran sebagai isu besar dalam perkhidmatan kereta api bagaimanapun berkata, perkara itu akan dibincang dengan Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi bagi melihat kesesuaian model itu dalam memaksimumkan perkhidmatan pengangkutan.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Wong Shu Qi (PH-Kluang) berhubung stesen tambahan di sepanjang Projek Landasan Berkembar Gemas-Johor Bahru, beliau berkata, pihaknya menggalakkan usaha perkongsian awam-persendirian dengan kerjasama Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Keretapi Tanah Melayu Behad (KTMB).

"Iaitu stesen ini tidak semestinya dibina kerajaan, umpamanya di sekitar stesen itu jika ada pembangunan perumahan antara perkara kita boleh laksanakan sebelum luluskan rancangan pembangunan ialah mewajibkan pemaju bina stesen tambahan dengan kosnya kepada mereka (swasta),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sekiranya pemaju sanggup mengeluarkan kos bagi pembinaan stesen tambahan yang menghubungkan kawasan perumahan dengan stesen berkenaan, langkah itu dilihat boleh meningkatkan nilai pembangunan dan hartanah di kawasan pemaju.

Menjawab soalan asal Wong berhubung bilakah Projek Landasan Berkembar Gemas-Johor Bahru disiapkan sepenuhnya, Anthony berkata, projek sepanjang 192 kilometer itu dijadualkan siap sepenuhnya pada 21 April 2025.

Beliau berkata, KTMB mempunyai perancangan memperkenalkan perkhidmatan KTM Komuter di sektor selatan bagi laluan Gemas-Paloh-Johor Bahru.

Menurutnya, MOT menerusi Perbadanan Aset Keretapi sedang mengusahakan inisiatif perolehan set tren elektrik baharu secara pajakan untuk digunakan bagi perkhidmatan KTM Komuter di sektor selatan kelak. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!