Pesawat terhempas di Kapar: Badan pesawat pecah teruk

Anggota Biro Siasatan Kemalangan Udara mengangkat keluar enjin pesawat ringan model BK 160 Gabriel yang terhempas di Kampung Tok Muda di Kapar. Foto Bernama
Anggota Biro Siasatan Kemalangan Udara mengangkat keluar enjin pesawat ringan model BK 160 Gabriel yang terhempas di Kampung Tok Muda di Kapar. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Laporan awal kejadian pesawat terhempas di Kapar, Selangor menunjukkan bahawa badan pesawat pecah dan gagal menghalang tujahan objek luar, mengakibatkan kecederaan yang membawa maut kepada penumpang.

Menurut Laporan Awal Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kementerian Pengangkutan, badan pesawat itu pecah teruk akibat impak berkuasa tinggi.

Badan pesawat ialah ruang diduduki kru pesawat meliputi kokpit dan ruang kabin. Ruang itu direka bentuk teguh supaya dapat menahan pengugahan (deformation).

"Dua mangsa maut dalam kemalangan ini, juruterbang di tempat duduk depan dan penumpang di tempat duduk belakang.

"Bukti-bukti menunjukkan bahawa juruterbang itu sihat secara psikologi dan fizikal sebelum penerbangan.

"Tiada bukti yang menunjukkan bahawa mangsa berada dalam tekanan kewangan, sosial, keluarga dan emosi. Tiada yang terselamat dalam bencana ini," menurut laporan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Anggota Biro Siasatan Kemalangan Udara membawa keluar enjin pesawat ringan model BK160 Gabriel yang terhempas di Kampung Tok Muda di Kapar.
Anggota Biro Siasatan Kemalangan Udara membawa keluar enjin pesawat ringan model BK160 Gabriel yang terhempas di Kampung Tok Muda di Kapar.

Pada 13 Februari lepas, pesawat Blackshape Gabriél BK 160TR (membawa tanda pendaftaran I-POOC) dengan daftar panggilan ADV429 dan dikendalikan oleh Aviation Safety Technology Pte Ltd, Singapura, berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor ke kawasan barat Kapar untuk penerbangan riadah atau rekreasi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.36 petang itu, pesawat berkenaan terhempas di ladang kelapa sawit di Kampung Tok Muda dekat Kapar, Selangor dan ditemukan musnah serta kedua-dua individu yang menaiki pesawat itu terkorban.

Antara penemuan dalam laporan setebal 58 muka surat itu ialah berlakunya penyelenggaraan yang tidak teratur dan berat melepasi had, yang direkodkan dalam penilaian kerosakan.

Penilaian itu dijalankan dengan bantuan Wakil Bertauliah (Accrep) dari Agensi Keselamatan Penerbangan Nasional Itali (ANSV) dan pasukannya yang terdiri daripada tiga penasihat teknikal (TA) dari Blackshape S.p.A., Itali.

Pasukan itu diterbangkan ke Kuala Lumpur bagi memberikan bantuan teknikal dalam penyiasatan kemalangan itu.

"Terdapat bukti yang menunjukkan bahawa aktiviti penyelenggaraan tidak teratur telah dilakukan pada BK 160TR.

"Aktiviti penyelenggaraan yang tidak teratur ini termasuk pemasangan bahagian pesawat yang tidak disahkan atau tidak mematuhi undang-undang, serta pemasangan bahagian pesawat dan servis pesawat oleh organisasi penyelenggaraan yang tidak dibenarkan atau orang yang tidak berkelayakan untuk menjalankan aktiviti penyelenggaraan," menurut laporan itu.

Pesawat Blackshape Gabriel BK 160TR terhempas di ladang kelapa sawit di Kampung Tok Muda dekat Kapar, Selangor pada 13 Februari lalu.
Pesawat Blackshape Gabriel BK 160TR terhempas di ladang kelapa sawit di Kampung Tok Muda dekat Kapar, Selangor pada 13 Februari lalu.

Laporan mengenai amalan penyelenggaraan pesawat itu juga akan dikemas kini memandangkan bukti lanjut sedang disediakan.

Mengenai penemuan berat melebihi had, menurut laporan itu terdapat bukti bahawa pesawat itu telah melebihi berat maksimum berlepas pesawat iaitu 850 kilogram (kg) semasa penerbangan.

Turut dinyatakan, mengandaikan tiada bagasi di dalam pesawat, dan tiada perubahan ketara kepada berat juruterbang atau penumpang bermula dari berat badan mereka direkodkan, jumlah berat sebenar pesawat telah melebihi had berat maksimum berlepas iaitu sebanyak kira-kira 8.4 peratus dalam kemalangan itu.

"BK 160TR ialah pesawat yang sensitif terhadap berat, dan berdasarkan bukti, terdapat kebarangkalian tinggi bahawa terdapat penerbangan lain yang diterbangkan oleh juruterbang itu sebelum ini yang juga melebihi had berat operasi pesawat," menurut laporan itu.

Laporan itu menyebut pesawat terbabit juga tidak dilengkapi dengan sebarang perakam data penerbangan selain dua paparan penerbangan utama Garmin G3X GDU 460 di kabin depan dan di kabin belakang pesawat.

"Sebelum ini terdapat kejayaan dalam cubaan mengeluarkan data parametrik direkodkan pada peralatan yang sama yang telah rosak dalam kemalangan oleh makmal siasatan kemalangan udara di luar negara.

"Satu daripada paparan penerbangan utama Garmin G3X pesawat I-POOC telah ditemukan dalam keadaan rosak teruk daripada bangkai pesawat, dan unit yang rosak itu dihantar ke Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional, Amerika Syarikat, yang telah menawarkan untuk membantu mendapatkan semula data daripada unit itu," menurut laporan berkenaan.

Laporan tersebut boleh dimuat turun daripada https://www.mot.gov.my/en/AAIB/report/a03-24.

Sementara itu, menurut Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan, laporan akhir kemalangan itu akan disiapkan dan didedahkan kepada umum dalam tempoh 12 bulan selepas kemalangan selaras dengan Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO Annex 13).

Menurut kementerian itu, siasatan AAIB masih berjalan bagi mengenal pasti punca dan faktor penyebab insiden maut itu. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28