Suasana pilu selubungi upacara penghormatan terakhir Daniel Yee

Lebih 50 individu terdiri daripada keluarga dan rakan mendiang Daniel hadir di Krematorium Nirvana, Seksyen 21 pada Khamis.
Lebih 50 individu terdiri daripada keluarga dan rakan mendiang Daniel hadir di Krematorium Nirvana, Seksyen 21 pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Suasana pilu menyelubungi sekitar upacara penghormatan terakhir jasad juruterbang, mendiang Daniel Yee Hsiang Khoon di Krematorium Nirvana, Seksyen 21 di sini pada Khamis.

Jasad mendiang difahamkan akan menjalani upacara pembakaran di krematorium itu.

Tinjauan di kawasan krematorium mendapati lebih 50 individu dipercayai ahli keluarga serta rakan mendiang tiba sekitar jam 1 petang di sini.

Selain itu, beberapa rakan daripada pelbagai bangsa turut hadir memberi penghormatan dan sokongan moral kepada keluarga mendiang.

Usaha media untuk menemuramah ahli keluarga mendiang bagaimanapun gagal apabila mereka enggan memberikan sebarang komen kerana masih bersedih dengan kejadian itu.

Terdahulu, mayat dua mangsa tragedi pesawat ringan terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar Selasa lalu selesai dituntut oleh waris keluarga masing-masing pada Rabu.

Mayat mendiang Daniel Yee, 30, dibawa keluar dari Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini kira-kira jam 6.05 petang untuk urusan selanjutnya.

Artikel Berkaitan:

Ahli keluarga dan rakan memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Daniel di Krematorium Nirvana, Seksyen 21 pada Khamis.
Ahli keluarga dan rakan memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Daniel di Krematorium Nirvana, Seksyen 21 pada Khamis.

Mayat pembantu juruterbang, mendiang Roshaan Singh Raina, 43, pula dibawa keluar dari HTAR dengan menggunakan kenderaan pengurusan jenazah milik syarikat swasta kira-kira jam 3 petang.

Pada Rabu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata,

hasil bedah siasat mendapati punca kematian kedua-dua mangsa adalah daripada pelbagai kecederaan akibat pesawat terhempas.

Pada Selasa, Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan seramai dua penumpang termasuk seorang juruterbang berada dalam pesawat ringan yang terhempas di kawasan kebun kelapa sawit berhampiran Sekolah Kebangsaan Tok Muda, Kapar.

Pesawat ringan model BK 160 Gabriel (nombor pendaftaran I-POOC), yang dikendalikan Air Adventure Flying Club berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, pada jam 1.28 petang bagi penerbangan rekreasi.