Hidup bermegah tanpa nasihat

A
A
A

ADA satu teka-teki dalam bahasa Inggeris; “Apakah perkara yang paling suka kita memberi dan amat membenci untuk menerima.” Jawapannya adalah nasihat.

Fenomena itu lumrah berlaku di mana-mana sahaja dan merentasi semua lapisan masyarakat.

Kebanyakan kita lebih suka memberi nasihat kepada orang lain, namun tidak pula suka mendengar nasihat daripada seseorang. Akhirnya kita menjadi megah dan sombong.

Natijahnya, sifat bermegah pada diri sendiri menyebabkan kita gagal untuk bermuhasabah diri sedangkan sifat muhasabah diri hadir apabila kita membuka minda dan hati untuk menerima nasihat orang lain.

Sebetulnya, sesuatu nasihat itu sangat penting kepada kita bagi mengharungi kehidupan yang lebih mencabar. Secara lazimnya, kita hanya menerima nasihat daripada kedua-dua orang tua kita, guru-guru, kawan-kawan, majikan dan sebagainya lagi.

Pun begitu, tidak semua nasihat yang diberikan kepada kita diambil untuk dijadikan panduan kerana adanya sifat kepentingan diri serta sifat ego yang tinggi.

Ada individu dan kelompok tertentu diberikan peringatan dan nasihat sepanjang masa, namun kerana sifat ego yang tinggi serta adanya sifat megah maka nasihat tersebut tidak sedikit pun dijadikan panduan.

Natijahnya, apabila mereka menerima musibah akibat tidak teliti dan begitu megah dengan diri sendiri, barulah menunjukkan rasa kalut dan panik untuk menyelesaikannya.

Artikel Berkaitan:

Benarlah kata bidalan Melayu, “Sewaktu lapar sentiasa mendekati, namun apabila senang mula menjauhi.”

Kebanyakan mereka yang payah menerima nasihat, tanpa mereka sedari telah tergolong dalam perbuatan riya’, malah sabda Rasulullah SAW, yang diriwayatkan oleh Mahmud Labi: “Perkara yang paling aku takut terjadi pada kalian adalah syirik yang kecil. Para sahabat bertanya, “Apa itu syirik yang kecil wahai Rasulullah?” Nabi SAW bersabda: “Itulah riya’, ALLAH berfirman pada hari kiamat kelak, pergilah kepada orang yang kamu hendak tunjukkan amalan kamu di dunia dan lihat adakah di sisi mereka itu ganjaran (dengan sebab amalan kamu).” (Hadis Riwayat Ahmad)

Selain itu, kebanyakan mereka yang hanya pandai memberi nasihat dan sukar menerima nasihat ialah disebabkan mereka gagal memberikan refleksi terhadap apa yang dia kata. Akhirnya, mereka menjadi golongan bercakap tidak serupa bikin.

Firman ALLAH SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya. Amat besar kebenciannya di sisi ALLAH -kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.” (Surah As-Saf, 61:2-3)

Daripada Anas RA katanya, seorang lelaki datang menemui Rasulullah SAW lalu berkata: “Sesungguhnya aku hendak pergi musafir wahai Rasulullah. Berilah nasihat sebagai bekalanku.” Baginda pun bersabda, “Semoga ALLAH memberi kekuatan iman kepadamu.” Lelaki itu berkata lagi, “tambahkanlah doa untukku lagi,” lalu Baginda bersabda, “mudah-mudahan ALLAH memberi keampunan kepadamu.” Lelaki tersebut berkata, “Tambahkanlah lagi doa untukku.” Baginda bersabda, “Semoga ALLAH memberi kemudahan kepadamu dan mendapat kebaikan di mana sahaja kamu berada.” (Hadith Riwayat at-Tirmizi)

Menurut pakar psikologi, bagi memberi nasihat kepada mereka yang sukar untuk menerima nasihat, kita seharusnya bermula dengan kaedah mendengar masalah mereka dahulu dan bukannya begitu teruja memperbetulkan keadaan mereka.

Cuba amalkan memberi nasihat kepada individu apabila mereka perlukan sahaja. Kita juga boleh memberikan nasihat dengan mengemukakan pelbagai soalan yang boleh menyebabkan mereka berfikir dan insaf.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis