Jangan membazir beli juadah di bazar Ramadan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KENAIKAN harga juadah di bazar Ramadan tahun ini terutama menu-menu popular diibaratkan tidak masuk akal kerana nilainya jauh lebih tinggi berbanding tahun lalu.

Antara juadah yang sering dicari pengunjung setiap tahun ialah bubur lambuk, martabak dan roti john malah aneka minuman berperisa dalam balang juga tidak terkecuali.

Harga menu tersebut meningkat mungkin disebabkan faktor kenaikan harga bahan mentah dan barang basah walaupun pendapatan masing-masing masih sama seperti tahun-tahun sebelumnya.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan kajian menunjukkan pembaziran makanan meningkat sehingga 20 peratus setiap kali Ramadan berbanding bulan-bulan lain, demikian kata Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader.

Difahamkan, sebanyak 90,000 tan makanan dibuang ke dalam tong sampah di seluruh negara sepanjang Ramadan tahun lalu.

Melihat kepada amalan membazir yang semakin membimbangkan ini, rakyat dinasihatkan agar sentiasa berjimat cermat dan teliti dua hingga tiga kali sebelum meninjau harga serta membeli makanan di pasaran.

Ia kerana kecenderungan untuk membuangnya ke dalam tong sampah selepas berbuka puasa atau moreh adalah tinggi dan orang ramai mungkin mahu mencuba juadah lain pula pada hari seterusnya.

Sementara itu, orang ramai diingatkan supaya berbalik kepada tujuan asal berpuasa itu sendiri iaitu bersyukur dan melatih diri untuk menahan lapar sepertimana yang dialami oleh golongan miskin serta terpinggir.

Artikel Berkaitan:

Pembelian makanan terlampau banyak atau juadah berbeza setiap hari bukanlah sikap yang harus dibanggakan.

Walau bagaimanapun, pengunjung setia yang sering ‘memburu’ menu-menu tersebut sepatutnya tidak melakukan pembaziran disebabkan nafsu lapar semata-mata.

Justeru, umat Islam diminta lebih berhati-hati dalam membuat keputusan apabila membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan atau memasak sahaja di rumah jika tidak keberatan dan masa mengizinkan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!