Peniaga bazar Ramadan kekal harga kerana pelanggan

Mohamad Firdaus mengekalkan jualan ayam bakar serendah RM2.80 sejak dua tahun lalu.
Mohamad Firdaus mengekalkan jualan ayam bakar serendah RM2.80 sejak dua tahun lalu.
A
A
A

IPOH - Sebahagian peniaga bazar Ramadan masih mengekalkan harga jualan seperti tahun lepas meskipun terhimpit dengan kenaikan harga mentah.

Tinjauan Sinar Harian di Bazar Ramadan Taman Cempaka mendapati pelbagai juadah dijual pada harga rahmah seperti roti john dan martabak keju RM4, nasi ayam, sup daging RM5 dan set kepak ayam bakar RM10.

Mohamad Firdaus
Mohamad Firdaus

Bagi peniaga, Mohamad Firdaus Nor Hashim, 35, keputusan untuk mengekalkan harga jualan ayam bakar bermula RM2.80 hingga RM10 itu sejak dua tahun lalu kerana pelanggannya merupakan kalangan pelajar.

"Memang tidak dinafikan apabila kenaikan harga barangan memberi kesan tetapi kawasan bazar ini dikelilingi sekolah berasrama dan politeknik.

"Untuk mengekalkan harga ini, kami ambil ayam kecil sedikit berbanding tahun lalu untuk seimbangkan modal dan keuntungan. Sebanyak 50 kilogram ayam dijual setiap hari," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Khamis.

Menurutnya, kepuasan pelanggan menjadi keutamaan tambahan berniaga di bazar hanya setahun sekali.

Peniaga roti john, Mohamad Hafiz Adnan, 33, berkata, tindakan menaikkan harga jualan dilihat akan menyusahkan pembeli yang turut terkesan faktor ekonomi semasa.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Hafiz (kiri) kekalkan jualan roti john RM4 di Bazar Ramadan Taman Cempaka di Ipoh.
Mohamad Hafiz (kiri) kekalkan jualan roti john RM4 di Bazar Ramadan Taman Cempaka di Ipoh.

"Saya masih kekalkan harga roti john RM4 ini kerana fikirkan semua pihak terkesan tahun ini dengan pembukaan sekolah, persiapan raya dan sebagainya.

"Dengan harga rendah, pelanggan boleh berbelanja untuk juadah lain. Menu roti john ayam dan daging ada ubah sedikit sesuai dengan harganya," katanya.

Peniaga popia, Muhammad Rosdi Mazlan, 32, berkata, kenaikan harga bahan mentah seperti bawang, udang kering dan tepung tidak dapat dielakkan dan memberi kesan kepada jualan popia basah dan popia goreng.

Muhammad Rosdi menjual popia basah kepada pelanggan di Bazar Ramadan Taman Cempaka di Ipoh.
Muhammad Rosdi menjual popia basah kepada pelanggan di Bazar Ramadan Taman Cempaka di Ipoh.

"Keuntungan jualan memang ada sedikit terjejas disebabkan kenaikan harga barangan tetapi memikirkan kawasan ini ramai pelajar, tidak sampai hati untuk naikkan harga," katanya.