Teliti mendalam tawaran tuan rumah Sukan Komanwel 2026

Laporan Sukan Sinar pada Isnin. Gambar kecil: Hasnul
Laporan Sukan Sinar pada Isnin. Gambar kecil: Hasnul
A
A
A

MALAYSIA wajar bersikap seimbang antara berhati-hati dan meneliti impak kepada negara untuk menerima tawaran Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) bagi menggantikan Victoria, Australia yang menarik diri sebagai tuan rumah temasya itu pada 2026.

Penganalisis sukan, Dr Hasnul Faizal Hushin Amri berkata, penganjuran acara sukan berskala besar sering dilihat membawa manfaat ekonomi yang besar kepada negara tuan rumah seperti peningkatan dalam sektor pelancongan, pekerjaan dan pembangunan infrastruktur.

Beliau berkata, ekonomi Malaysia berpotensi mendapat manfaat melalui peningkatan keterlihatan Malaysia di peringkat antarabangsa untuk menarik pelancong dan pelabur.

"Sebagai contoh, Glasgow, tuan rumah Sukan Komanwel 2014 dan Melbourne 2006 mengalami peningkatan pelancongan yang ketara dan peningkatan pelaburan asing. Sebaliknya, beban ekonomi dan perbelanjaan yang berkaitan dengan penganjuran acara sukan besar tidak boleh diabaikan.

"Penarikan Australia sebagai penganjur boleh menyebabkan peningkatan kos bagi Malaysia kerana perlu bersiap sedia dengan segera untuk penyediaan venue dan infrastruktur.

"Tekanan kewangan mungkin melebihi faedah jangka panjang yang mungkin diperoleh seperti yang terjadi kepada Rio de Janeiro selepas menganjurkan Sukan Olimpik 2016," katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Sebagai tuan rumah, CGF menawarkan Malaysia dana 100 juta pound (RM601 juta) bagi menyokong perancangan menganjurkan edisi 2026 akan mengurangkan beban kewangan menganjurkan temasya sukan itu.

Hasnul menjelaskan di mata dunia keterlihatan negara boleh diketengahkan bagi menunjukkan Malaysia telah diiktiraf dunia dalam aspek penganjuran acara sukan berprestij.

Artikel Berkaitan:

Justeru katanya, bagi mengimbangi peluang itu Malaysia perlu berhati-hati memikir dan merancang secara teliti agar ia tidak menjejaskan reputasi negara.

"Sukan Komanwel sering menjadi pemangkin untuk pembangunan infrastruktur yang signifikan dan meninggalkan warisan yang berkekalan bagi negara tuan rumah. Malaysia pernah menjadi tuan Rumah Sukan Komanwel 1998 dan Kompleks Sukan Bukit Jalil adalah hasil legasi yang ditinggalkan sehingga kini.

"Malaysia boleh menggunakan peluang ini untuk meningkatkan sistem pengangkutan, infrastruktur dan kemudahan sukan. Contohilah perancangan yang teliti seperti pembangunan Queen Elizabeth Olympic Park di London dan lihat impak selepas penganjuran Olimpik 2012," katanya.

Tambah beliau, keperluan membina kemudahan dalam tempoh singkat mungkin boleh menyebabkan kekurangan persediaan infrastruktur yang mencukupi, sekali gus menjejaskan keselamatan dan keselesaan peserta serta penonton.

Katanya, pengajaran dari Sukan Komanwel Delhi 2010 perlu diambil iktibar kerana kelewatan menyediakan kemudahan akan menjejaskan kejayaan penganjuran dan berkemungkinan terjadi kelemahan kepada infrastruktur.

"Peralihan penganjuran dari Australia kepada Malaysia sebagai tuan rumah Sukan Komanwel 2026 pastinya membawa impak positif dan negatif yang kompleks.

"Walau apa pun manfaat yang mungkin dirasai dari pelbagai sektor, aspek perancangan teliti dan memahami cabaran yang berkaitan adalah penting untuk mengurangkan risiko.

"Malaysia mempunyai peluang unik untuk memperlihatkan keupayaannya di peringkat antarabangsa maka pertimbangan yang baik perlu dibuat agar tidak menjejaskan reputasi Malaysia di masa depan," katanya.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memaklumkan telah memulakan perbincangan dengan Kementerian Belia dan Sukan mengenai cadangan menganjurkan Sukan Komanwel 2026 susulan undangan rasmi daripada CGF kepada MOM yang juga dikenali sebagai Persatuan Sukan Komanwel (CGA) Malaysia bulan lalu.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, CGA Malaysia berpandangan kerajaan perlu menimbangkan peluang 'sekali seumur hidup' itu, di samping sokongan serta pelaburan kewangan berkaitan, meneruskan legasi kejayaan Malaysia yang pernah menganjurkan Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998, dan mengembalikan kemegahan negara dalam arena sukan dunia.

Sabtu lalu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh memaklumkan Kabinet akan membuat keputusan sama ada Malaysia berminat untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 dalam masa terdekat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!