Bursa Malaysia dibuka rendah susulan sentimen berhati-hati

Pada 9.21 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.87 mata kepada 1,536.26 daripada 1,538.13 ketika ditutup pada Rabu. - Foto hiasan
Pada 9.21 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.87 mata kepada 1,536.26 daripada 1,538.13 ketika ditutup pada Rabu. - Foto hiasan
A
A
A

BURSA Malaysia meneruskan penurunan semalam untuk dibuka rendah pada Khamis berikutan pengambilan untung ke atas saham wajaran tinggi terpilih berlanjutan dalam keadaan sentimen berhati-hati di pasaran serantau, kata peniaga.

Pada 9.21 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.87 mata kepada 1,536.26 daripada 1,538.13 ketika ditutup pada Rabu.

Indeks penanda aras itu dibuka 2.53 mata lebih rendah kepada 1,535.60.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 242 berbanding 216, manakala 347 kaunter tidak berubah, 1,509 kaunter tidak diniagakan dan 26 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 740.285 juta unit bernilai RM215.68 juta.

Menurut Malacca Securities pihaknya menjangkakan keadaan pasaran tempatan kekal positif hari ini dengan situasi aktiviti pembelian semasa harga murah dalam saham bermodal kecil.

FBM KLCI ditutup rendah (pada Rabu) selepas beberapa saham dalam indeks wajaran tinggi melaksanakan dividen mereka, manakala saham wajaran tinggi telekomunikasi terpilih ditutup dalam wilayah negatif, jelasnya.

"Memandangkan sektor teknologi di Amerika Syarikat mengalami penurunan, kami yakin peningkatan saham teknologi mungkin minimum di pasaran tempatan.

Artikel Berkaitan:

"Sementara itu, kami yakin pelabur boleh memberi tumpuan kepada sektor komoditi seperti minyak dan gas dan sektor perladangan, dengan prestasi lebih kukuh yang dicatatkan komoditi asas dalam tempoh semalaman,” menurut firma pembrokeran itu dalam nota penyelidikan pada Khamis.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut 5.0 sen kepada RM9.57, Public Bank dan Tenaga Nasional masing-masing turun 2.0 sen kepada RM4.20 dan RM11.52 manakala CIMB naik 4.0 sen kepada RM6.74 dan Petronas Chemicals menokok 1.0 sen kepada RM6.82.

Bagi saham aktif, Hong Seng meningkat setengah sen kepada 2.0 sen, Eversendai naik 3.0 sen kepada 42 sen, GDB Holdings menambah 3.5 sen kepada 26.5 sen manakala Pan Malaysia kekal pada 20 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 2.53 mata kepada 11,440.65; Indeks FBMT 100 susut 5.19 mata kepada 11,100.03; Indeks FBM ACE kurang 1.02 mata kepada 4,705.40; Indeks FBM Emas Syariah menokok 1.48 mata kepada 11,496.72 dan Indeks FBM 70 naik 26.76 mata kepada 15,576.27.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 51.09 mata kepada 17,184.48; Indeks Perladangan meningkat 8.37 mata kepada 7,283.57; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.12 mata kepada 175.57 manakala Indeks Tenaga menokok 5.99 mata kepada 912.49. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28