Keselamatan sempadan: Jangan hangat-hangat tahi ayam!

Difahamkan, kira-kira 140 pangkalan haram wujud di sepanjang Sungai Golok dari Rantau Panjang ke Pengkalan Kubor. Foto Awani
Difahamkan, kira-kira 140 pangkalan haram wujud di sepanjang Sungai Golok dari Rantau Panjang ke Pengkalan Kubor. Foto Awani
A
A
A

BULAN lalu, Sinar Harian melaporkan secara eksklusif mengenai betapa mudahnya negara ini diceroboh masuk dengan hanya perlu merentas Sungai Golok dalam masa kira-kira lima minit.

Pendedahan ini meskipun bukanlah perkara baharu kerana kewujudan begitu banyak pangkalan haram di sempadan Malaysia-Thailand, antara lain menyumbang kepada mudahnya pendatang asing tanpa izin (PATI) diseludup masuk ke negara ini, mengundang pelbagai respons ramai termasuk Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurut Saifuddin, beliau sendiri telah mempengerusikan mesyuarat berkaitan dan menerima maklumat lanjut daripada agensi perisikan keselamatan yang turut mencadangkan jalan keluar, antaranya melibatkan pelupusan pangkalan haram.

Syor tersebut turut menekankan pentingnya usaha sama digembleng antara kerajaan pusat, negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan punca kepada permasalahan ini dapat ditangani.

Ia bukan hanya tentang merobohkan struktur pangkalan haram yang didirikan di atas mana-mana tanah rizab kerajaan misalnya, namun melibatkan hal keselamatan dan pengurusan sempadan negara secara total.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nassuruddin Daud dalam reaksinya berkata, kerajaan negeri sedia memberikan kerjasama kepada kerajaan Pusat dalam usaha pelupusan pangkalan haram tersebut.

Hakikatnya, kewujudan pangkalan haram yang sudah lama bertapak sehingga menjadi punca rezeki penduduk setempat, tidak sepatutnya dibiarkan beroperasi sesuka hati sejak lama dahulu.

Diharapkan tindakan merobohkan dua pangkalan haram berusia puluhan tahun di Pengkalan Kubor, Kelantan baru-baru ini bukanlah usaha hangat-hangat tahi ayam ekoran laporan meluas media mengenainya.

Artikel Berkaitan:

Sudah sampai masanya agensi yang berkaitan dengan kerjasama PBT 'membersihkan' sempadan negara daripada pangkalan haram yang membuka kepada kewujudan laluan tikus yang akhirnya memberi 'lampu hijau' kepada sindiket penyeludupan manusia mahupun kontraban bermaharajalela.

Difahamkan, kira-kira 140 pangkalan haram wujud di sepanjang Sungai Golok dari Rantau Panjang ke Pengkalan Kubor dan berdasarkan maklumat risikan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), lebih 50 menjadi hotspot penyeludupan PATI adalah hal yang sangat serius.

Pun begitu, jangan hanya tumpu pada sempadan negara di Kelantan sahaja disebabkan pembongkaran berkenaan, sebaliknya tindakan juga perlu dilakukan di pintu sempadan negara di Kedah dan Perlis.