Sinar Harian, Sin Chew Daily raih Anugerah Khas KPKT

Zamri (dua kanan) menerima sijil dan trofi Anugerah Khas Menteri sempena Anugerah Kewartawanan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) 2023, di sini, pada Jumaat.
Zamri (dua kanan) menerima sijil dan trofi Anugerah Khas Menteri sempena Anugerah Kewartawanan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) 2023, di sini, pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sinar Harian dan Sin Chew Daily membawa pulang Anugerah Khas Menteri sempena Anugerah Kewartawanan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) 2023, di sini, pada Jumaat.

Ketua Pengarang Sinar Harian, Zamri Rambli berkata, anugerah itu berdasarkan laporan berkaitan peranan dan fungsi KPKT sepanjang tahun ini.

"Selain itu, susulan laporan khas Sinar Harian berkaitan pendedahan mengenai bilik sewa 'sangkar burung' mendapat perhatian Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

"Laporan itu sangat baik sehingga bilik sewa itu telah diambil tindakan tegas," katanya.

Zamri berkata, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada tenaga kerja Sinar Harian.

"Laporan khas itu merupakan rangkuman keseluruhan sepanjang tahun ini," katanya.

Sinar Harian dan Sin Chew Daily memperoleh hadiah wang tunai berjumlah RM10,000, trofi dan sijil penghargaan.

Majlis anugerah buat julung kalinya itu adalah untuk mengiktiraf pengamal-pengamal media negara.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Kor Ming berkata, majlis itu adalah penghargaan kepada pihak media yang berperanan penting menyampaikan maklumat benar, sahih dan dipercayai melalui liputan program-program berkaitan pembangunan KPKT.

"Media adalah penghubung yang mendekatkan KPKT dengan masyarakat menerusi pemberitaan yang diterbitkan berkaitan isu-isu masyarakat setempat," katanya.