TLDM bakal terima 12 aset udara baharu

Mohd Reza berucap pada Majlis Perutusan Tahun Baru 2020 dan Penganugerahan Markas Terbaik TLDM bagi tahun 2019 di Wisma Pertahanan hari ini. -Foto Bernama
Mohd Reza berucap pada Majlis Perutusan Tahun Baru 2020 dan Penganugerahan Markas Terbaik TLDM bagi tahun 2019 di Wisma Pertahanan hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dijangka menerima 12 aset udara yang baharu iaitu sistem pesawat tanpa pengendali (UAS) daripada Amerika Syarikat tahun ini.

Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany berkata, sistem itu akan ditempatkan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Sabah.

Beliau berkata, kemasukan aset baharu itu dilihat akan meningkatkan keupayaan TLDM dalam aspek pemantauan domain maritim negara.

"Selain itu, perolehan 18 bot pemintas laju dan tiga helikopter operasi maritim telah di peringkat tender dan akan dimuktamadkan.

"Pada masa sama, TLDM turut melaksanakan kajian kesesuaian ke atas cadangan yang diterima daripada beberapa negara bagi memenuhi keperluan MRSS (Kapal Sokongan Pelbagai Peranan)," katanya kepada pemberita pada majlis perutusan Panglima TLDM bersempena tahun baharu 2020 di Wisma Pertahanan di sini.

Mohd Reza berkata, keperluan MRSS amat penting terutama dalam memastikan keperluan operasi logistik TLDM dan sokongan kepada bantuan bencana alam atau Bantuan Kemanusiaan dan Bantuan Bencana di dalam negara mahupun negara serantau.

"TLDM amat berkeyakinan melalui kemasukan aset baharu berkenaan dilihat mampu melaksanakan operasi dengan lebih efektif," katanya.

Menyentuh aspirasi 2020 TLDM, beliau berkata, TLDM menyasarkan sekurang-kurangnya 75 peratus kapal-kapal TLDM berada antara kategori satu hingga tiga iaitu tidak rosak dan boleh beroperasi sepenuhnya serta rosak tetapi boleh beroperasi.

Artikel Berkaitan:

"Bagi mencapai hasrat itu, TLDM merancang pelbagai program berdasarkan kepada peruntukan dan keperluan operasi semasa.

"Antaranya meneruskan program ‘Repowering, Refit’ inovasi baharu dan pelaksanaan semula program senggaraan jentera utama kapal TLDM," katanya. - Bernama