Tak sempat jual, lelaki ditahan bersama stok mercun RM8,000

Antara bunga api dirampas dalam serbuan di Jalan Padang Nyu, Arau, pada Isnin.
Antara bunga api dirampas dalam serbuan di Jalan Padang Nyu, Arau, pada Isnin.
A
A
A

ARAU - Polis menahan seorang lelaki dan merampas pelbagai jenis mercun serta bunga api bernilai kira-kira RM8,000 dipercayai untuk jualan pada bulan Ramadan dan Syawal dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Padang Nyu di sini, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau kira-kira jam 5.30 petang.

Menurutnya, lelaki berusia 37 tahun itu mengaku sebagai tuan rumah ketika ditunjukkan kad kuasa dan hasil pemeriksaan menemui pelbagai jenis mercun dan bunga api di ruang tamu dalam rumah tersebut.

"Susulan itu, lelaki yang berniaga barangan sejuk beku ditahan dan kesemua barang kes tersebut dirampas kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

"Antara mercun dan bunga api dirampas termasuklah Happy Boom Assorted Celebration Cake, Happy Boom Cake, Happy Boom Mancis, Happy Boom Cili Padi, Happy Boom Flower Silver Cracking Rain 22 Inci, Happy Boom Dush, Happy Boom Ground Boom Flower, Happy Boom Glow Of Sunset," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ahmad Mohsin berkata, pihaknya turut merampas sebuah telefon bimbit jenis Vivo V25 warna biru yang dijumpai dalam poket seluar sebelah kanan yang dipakai lelaki itu.

Beliau berkata, stok mercun dan bunga api terbabit yang dibeli secara pukal melalui panggilan telefon dipercayai baru sampai pada pagi sebelum serbuan.

Katanya lagi, siasatan turut mendapati suspek belum membuat bayaran dan membeli secara hutang bekalan mercun dan bunga api tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Hasil saringan urin mendapati suspek negatif dadah, manakala semakan rekod pula mendapati lelaki itu mempunyai lapan rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Suspek kini direman selama tiga hari bermula Selasa dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28