Dua lelaki ditahan, lempar mercun ke arah kenderaan polis

Tular video di media sosial memaparkan dua individu ditahan polis dipercayai bermain mercun di kawasan perumahan di Lembah Subang, Petaling Jaya pada Selasa.
Tular video di media sosial memaparkan dua individu ditahan polis dipercayai bermain mercun di kawasan perumahan di Lembah Subang, Petaling Jaya pada Selasa.
A
A
A

PETALING JAYA - Tindakan dua lelaki melempar mercun ke arah kenderaan dinaiki anggota polis membawa padah apabila ditahan dalam kejadian di kawasan perumahan Lembah Subang dekat sini, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya sebelum itu menerima aduan daripada penduduk kawasan perumahan terbabit berkaitan terdapat beberapa individu bermain mercun sehingga mengganggu ketenteraman awam.

"Dua buah kereta peronda polis digerakkan ke lokasi kejadian dan tiba kira-kira jam 4.35 pagi sebelum mendapati terdapat lebih 50 individu yang merupakan penduduk perumahan tersebut berkumpul di lokasi terbabit.

"Penduduk berkenaan menyatakan bahawa mereka terganggu dengan tindakan individu berkenaan yang bermain mercun selain bimbang kerosakan melibatkan rumah dan kenderaan mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, dua suspek terbabit turut bertindak melontar mercun ke arah kenderaan polis.

"Siasatan di lokasi kemudian membawa kepada tangkapan dua individu dipercayai terlibat dalam kejadian itu.

"Semakan mendapati kedua-dua suspek memiliki pelbagai rekod lampau melibatkan kesalahan jenayah dan dadah," katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek yang ditahan, direman dua hari untuk siasatan selanjutnya.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 13 Akta Kesalahan Kecil 1955.

"Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang ditetapkan dan dalam masa sama tidak melakukan perbuatan jenayah serta mengganggu ketenteraman awam," katanya.

Pada Selasa, tular video di media sosial memaparkan dua individu ditahan polis dipercayai bermain mercun di kawasan perumahan di Lembah Subang, Petaling Jaya.