Sekolah vernakular bukan ruang pemisah antara etnik

Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang. Foto Bernama
Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kewujudan sekolah vernakular tidak lagi boleh dianggap sebagai pembuka ruang pemisah antara etnik sebaliknya perlu menjadi medan mengurus kerukunan sosial seperti dimainkan oleh peranan sekolah kebangsaan.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, aspek kerukunan sosial tersebut bergantung kepada empat perkara iaitu penyesuaian, matlamat, integrasi dan terpendam.

“Justeru, sektor pendidikan vernakular perlu mampu menguruskan keempat-empat perkara ini bagi mewujudkan kerukunan sosial (social order) di sekolah mereka.

"Saya mohon agar semua pihak menghentikan serta merta polemik berhubung kewujudan sekolah vernakular di negara ini.

"Jika polemik ini berterusan, ia akan mengganggu gugat semangat perpaduan dan muhibah yang terbina dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, ras, etnik dan agama," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Pada Isnin, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, KPM kekal mengiktiraf sekolah vernakular dalam kerangka pendidikan kebangsaan sekali gus memperkasakan Akta Pendidikan 1996.

Dalam pada itu, ujar Aaron, Mahkamah Rayuan juga telah memutuskan bahawa kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular dan penggunaan bahasa Mandarin serta bahasa Tamil di sekolah berkenaan adalah berperlembagaan pada November tahun lalu.

"Sebarang usaha memansuhkan kewujudannya adalah tidak wajar, malah ia adalah bertentangan dengan keputusan mahkamah yang menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara iaitu Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga menyokong penuh pendirian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang telah menyatakan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia akan terus mempertahankan sistem pendidikan vernakular kerana ia selaras dengan Seksyen 28 (penubuhan Sekolah Kebangsaan dan Jenis Kebangsaan), Akta Pendidikan 1996," ujarnya.

Tambahnya, sekolah vernakular merupakan faktor yang menjadi tarikan ke arah perpaduan.

Menurutnya, data enrolmen pelajar bukan Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan pelajar bukan India di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) turut menunjukkan peningkatan berterusan sejak tahun 2018 sehingga 2023.

“Untuk makluman, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) telah menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Pendidikan Rukun Negara melibatkan KPN, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Komunikasi yang bertujuan meletakkan kembali penghayatan asas dan prinsip Rukun Negara dalam sistem pendidikan.

“Sehingga kini, KPN dengan kerjasama KPM dan KPT telah menubuhkan sebanyak 6,849 Kelab Rukun Negara (KRN) dan 189 Sekretariat Rukun Negara (SRN) di seluruh negara bagi meningkatkan penghayatan Rukun Negara dalam kalangan generasi muda yang mampu menjadi pemangkin kepada perpaduan negara,” ujarnya.