Malaysia kekal menarik kepada pelabur global - Tengku Zafrul

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

BERLIN - Di sebalik persaingan daripada negara-negara ASEAN lain, Malaysia terus menjadi destinasi utama kepada pelabur global, dengan ekosistem yang kukuh wujud sejak lima dekad lepas, terutamanya dalam industri elektrik dan elektronik.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Malaysia turut mendapat manfaat daripada limpahan pelaburan ke negara-negara jirannya.

Bercakap kepada media Malaysia yang membuat liputan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jerman, beliau berkata, tarikan Malaysia yang berterusan, menekankan potensinya kepada pertumbuhan yang mampan dalam ekonomi hijau dan digital, disokong oleh sumber aslinya yang banyak dan persekitaran pelaburan yang stabil.

Beliau berkata, dalam lawatan kerja itu, Anwar akan melawat Siemens Energy, pemain utama dalam tenaga boleh baharu.

Dalam pada itu, katanya ASEAN telah mendapat manfaat daripada perubahan aliran pelaburan dan penjajaran semula rantaian bekalan, walaupun pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global lembap dan aliran pelaburan langsung asing (FDI) global merosot.

"Susulan KDNK global lembap, FDI global turun 12 peratus tetapi FDI ke ASEAN naik 5.0 peratus,” katanya.

Aliran FDI global merosot sebanyak 12 peratus kepada AS$1.3 trilion (US$1 = RM4.68) pada 2022, selepas jatuh pada 2020 berikutan pandemik Covid-19 dan meningkat semula pada 2021.

Manfaat limpahan

Artikel Berkaitan:

Walaupun terdapat persaingan untuk menarik perdagangan dan pelaburan dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN, Tengku Zafrul berkata, Malaysia akan mendapat manfaat dari segi limpahannya.

"Kita bersaing dalam ASEAN tetapi bagi saya, ia bukan ‘zero-sum game’.

"Walaupun jika Vietnam atau jiran kita, Singapura mendapat pelaburan, ia akan melimpah ke Malaysia,” katanya, mengambil contoh pelaburan di negara-negara jiran ASEAN turut meningkatkan ekosistem ekonomi Malaysia.

Beliau berkata, penubuhan pusat data yang menyokong kecerdasan buatan (AI) di Singapura, limpahannya dapat dirasai di Malaysia serta pemerolehan komponen dari Malaysia oleh Vietnam sebagai contoh utama kepada kerjasama yang memberi manfaat.

Mengenai lawatan Perdana Menteri ke Jerman, Tengku Zafrul berkata, penting bagi Malaysia untuk terus menjalin kerjasama dengan ekonomi ketiga terbesar dunia itu dan dalam lawatan selama enam hari, Anwar akan bertemu pemimpin industri dan pelabur yang berpotensi seperti Schott AG, Infineon Technologies AG, Melexis dan Airbus.

Perdana Menteri juga akan melawat pengeluar kereta BMW di Munich untuk menggalakkan mereka terus melabur di Malaysia, terutamanya dalam sektor kenderaan elektrik.

Pada masa ini, terdapat lebih 700 syarikat Jerman yang beroperasi di Malaysia, mewujudkan 65,000 pekerjaan.

Jerman telah menjadi rakan dagang terbesar Malaysia dalam kalangan negara-negara anggota Kesatuan Eropah sejak tahun 2000 manakala Malaysia adalah rakan dagang terbesar Jerman dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN.

Pada 2023, jumlah perdagangan Malaysia dengan Jerman naik 5.9 peratus kepada RM63.45 bilion (AS$13.90 bilion) daripada RM59.87 bilion (AS$13.62 bilion) pada 2022. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28