Jangan persoalkan kedaulatan Sabah dalam Malaysia - Hajiji

Kerajaan Sabah tetap dengan pendirian untuk menolak sekeras-kerasnya sebarang tuntutan ke atas Sabah yang sama dengan mempersoalkan kedaulatan negeri dalam Persekutuan Malaysia. Gambar hiasan Bernama (Gambar kecil: Hajiji)
Kerajaan Sabah tetap dengan pendirian untuk menolak sekeras-kerasnya sebarang tuntutan ke atas Sabah yang sama dengan mempersoalkan kedaulatan negeri dalam Persekutuan Malaysia. Gambar hiasan Bernama (Gambar kecil: Hajiji)
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah tetap dengan pendirian untuk menolak sekeras-kerasnya sebarang tuntutan ke atas Sabah yang sama dengan mempersoalkan kedaulatan negeri dalam Persekutuan Malaysia.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pendirian kukuh kerajaan Persekutuan untuk tidak melayan dakwaan terbaharu kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai United Tausug Citizens (UTC) turut mendapat sokongan masyarakat global berhubung perkara ini.

Beliau turut menegaskan sekali lagi bahawa rakyat Sabah telah memilih untuk bersama-sama membentuk Persekutuan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Oleh itu, sebarang tuntutan luar terhadap negeri Sabah tidak akan diiktiraf oleh kerajaan negeri mahupun rakyat.

"Malah, tuntutan pewaris Kesultanan Sulu yang tidak berfungsi serta tidak berasas itu berakhir dengan pemenjaraan penimbang tara Dr Gonzalo Stampa," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Hajiji turut menegaskan dakwaan oleh UTC atau mana-mana kumpulan ke atas Sabah tidak lain adalah hanya satu percubaan remeh semata-mata untuk mengganggu gugat keamanan negeri dan ia sama dengan mengancam kedaulatan negara.

Sebelum itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dalam kenyataan pada Sabtu menegaskan Malaysia tidak melayan sebarang bentuk tuntutan remeh oleh kumpulan digelar sebagai UTC yang mendakwa sebagai 'penjaga sah Wilayah Kesultanan Sulu' ke atas Sabah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: