Tuntutan AS$15 bilion UTC terhadap Sabah membimbangkan - Azalina

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Tuntutan sebanyak AS$15 bilion (RM70.2 bilion) yang dikemukakan oleh United Tausug Citizens (UTC) ke atas Sabah perlu ditangani dengan segera oleh Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, hal itu kerana jumlah berkenaan menyamai 16 peratus belanjawan negara.

“Malaysia baru-baru ini menghadapi tuntutan tidak berasas daripada UTC yang menuntut AS$15 bilion dan pengiktirafan ke atas Sabah.

“Tuntutan sedemikian mengancam integriti negara berdaulat dan prinsip keadilan. Ancaman UTC untuk menyaman Malaysia di Amerika Syarikat (AS) adalah membimbangkan.

“Kita mesti menangani dakwaan palsu yang mempertaruhkan 16 peratus daripada belanjawan negara kita dan mengeksploitasi timbang tara untuk keuntungan, sama seperti skim pemerasan,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial, X miliknya pada Selasa.

Sebelum ini, media melaporkan Malaysia tidak melayan sebarang tuntutan remeh oleh kumpulan digelar sebagai UTC yang mendakwa sebagai ‘penjaga sah Wilayah Kesultanan Sulu’ ke atas Sabah.

Azalina berkata, UTC meminta kerajaan Malaysia untuk membuat pembayaran segera sebanyak AS$15 bilion yang didakwa mereka sebagai 'Cession Money’ (Wang Penyerahan Wilayah) dan mengiktiraf UTC sebagai 'Kerajaan yang berdaulat dan merdeka'.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa kumpulan itu turut mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Malaysia di Amerika Syarikat (AS).

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Azalina yang kini berada di Paris, Perancis bagi menghadiri Mesyuarat Menteri Undang-Undang Komanwel turut menyentuh mengenai isu kes tuntutan Sulu dihadapi Malaysia.

Azalina menghadiri menghadiri Mesyuarat Menteri Undang-Undang Komanwel di Paris, Perancis. Foto: X @AzalinaOthmanS
Azalina menghadiri menghadiri Mesyuarat Menteri Undang-Undang Komanwel di Paris, Perancis. Foto: X @AzalinaOthmanS

“Saya membincangkan kes Sulu dan risiko pembiayaan litigasi pihak ketiga (TPLF) terhadap kedaulatan negara.

“TPLF sering mengutamakan keuntungan berbanding keadilan, mencabar tujuan teras sistem perundangan kita,” ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28