Dua pemuda 'tawan' 12 negeri dalam tempoh enam hari

Mohamad Hafiz bersama rakan, Alif Haikal berehat sebentar selepas mengisi minyak petrol di petrol pam.
Mohamad Hafiz bersama rakan, Alif Haikal berehat sebentar selepas mengisi minyak petrol di petrol pam.
A
A
A

SHAH ALAM - Dua pemuda menjelajah ke 12 negeri di Semenanjung Malaysia hanya dalam tempoh enam hari dengan menunggang motosikal demi merasai pengalaman sepanjang perjalanan untuk melihat suasana negeri lain.

Perjalanan Mohamad Hafiz Aiman Mohd Wazir dan Alif Haikal Shukri, 26, bermula di Kedah, kemudian ke Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Selangor, Perak, Pulau Pinang serta Perlis sebelum pulang semula ke lokasi permulaannya di Alor Setar.

Mohamad Hafiz berkata, mereka mencabar diri melakukan aktiviti tersebut setelah terinspirasi dengan komuniti pemotoran seperti The Solo Ride Malaysia di media sosial.

Mohamad Hafiz Aiman
Mohamad Hafiz Aiman

Menurutnya, perjalanan bermula 2 hingga 7 Mac itu antaranya menumpukan destinasi pantai yang ada di negeri-negeri tersebut, sekali gus menjadi perjalanan paling jauh sepanjang hidupnya.

"Saya dan Alif cabar diri untuk menjelajah ke 12 negeri tersebut dengan menggunakan motor Honda Wave Alpha dan Yamaha NVX.

"Kami singgah ke pantai sahaja. Jadi, sehari boleh terus pergi ke dua negeri dan dalam masa enam hari kami dapat tawan Semenanjung Malaysia ini dari hujung selatan ke hujung utara.

Artikel Berkaitan:

“Lagipun, penggunaan motor ini jimat minyak, bebas bergerak, mudah dan tidak perlu alami kesesakan lalu lintas,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Mohamad Hafiz yang berkongsi kisah perjalanan tersebut di TikTok mendapat perhatian daripada pengguna aplikasi berkenaan apabila memperoleh 1 juta tontonan dengan lebih 100,000 tanda suka.

Masing-masing menghabiskan kira-kira RM300 sepanjang perjalanan tersebut untuk kos makan, minyak petrol dan minyak enjin.

Mohamad Hafiz yang bekerja membantu ayahnya menjual roti canai menambah, bagi merealisasikan misi itu, mereka turut berdepan cabaran cuaca dan insiden luar jangka.

“Cabaran yang tidak boleh lupa bila naik motor adalah cuaca yang tak menentu sampai terpaksa bawa motor dalam keadaan basah kuyup selama tujuh jam sehari untuk empat hari awal penjelajahan.

“Kami gagahkan diri untuk habiskan misi, walaupun tiba-tiba mentol lampu motor terbakar di pertengahan jalan,” ujarnya.

Katanya lagi, selain dapat menikmati keindahan alam semula jadi sepanjang perjalanan, mereka juga gembira apabila dapat membantu peniaga-peniaga kecil.

“Saya berhenti makan di gerai kecil dan ke bengkel disebabkan ada sedikit masalah dengan motor, tetapi alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar.

"Sebenarnya banyak lokasi menarik untuk dilawati terutama di kawasan-kawasan luar bandar dan kita juga dapat bantu usahawan berniaga di kawasan-kawasan terpencil," katanya.