Kren produksi filem tumbang timpa banglo 99 pintu

Sebuah kren yang dipercayai digunakan syarikat produksi film tumbang menghempap banglo misteri di Nibong Tebal pada Jumaat.
Sebuah kren yang dipercayai digunakan syarikat produksi film tumbang menghempap banglo misteri di Nibong Tebal pada Jumaat.
A
A
A

NIBONG TEBAL - Sebuah kren yang dipercayai digunakan oleh produksi filem dilaporkan tumbang dan menimpa banglo 99 pintu yang terletak di Jalan Byram di sini, pada Jumaat.

Kejadian itu menyebabkan struktur bumbung dan dinding rumah agam yang dipercayai dibina pada awal kurun ke-19 itu runtuh.

Beberapa keping gambar insiden terbabit mula tular di media sosial sejak petang Jumaat dan mengundang pelbagai reaksi netizen berikutan banglo tersebut sebelum ini dikaitkan dengan misteri selain pelbagai kisah tersendiri.

Empat tahun lalu media melaporkan banglo usang itu tiba-tiba terbakar tanpa diketahui punca hingga mengakibatkan 70 peratus struktur kayu alang dan lantai musnah.

Difahamkan, banglo itu dibina oleh seorang ahli perniagaan British dikenali sebagai Ramsden di tengah ladang kelapa sawit dengan seni bina Inggeris lengkap 10 bilik, dewan tari, ruang tamu dan ia mendapat jolokan Rumah 99 Pintu kerana susunan lima hingga enam pintu di setiap bilik.

Kejadian itu menyebabkan struktur bumbung dan dinding rumah agam yang dipercayai dibina pada awal kurun ke-19 runtuh.
Kejadian itu menyebabkan struktur bumbung dan dinding rumah agam yang dipercayai dibina pada awal kurun ke-19 runtuh.

Kisah rumah itu mula mendapat perhatian apabila pada 1948, cucu kepada pemilik banglo itu dikatakan telah dibunuh secara kejam.

Menurut kisah yang popular dalam kalangan penduduk tempatan, mangsa dikenali sebagai John St Maur Ramsden telah ditembak tepat di kepalanya sebanyak dua kali dan mati serta-merta.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, H'ng Mooi Lye ketika dihubungi melahirkan rasa kesal dengan kejadian yang berlaku hingga mengakibatkan kerosakan pada struktur banglo terbabit.

"Saya hanya mengetahui kejadian ini apabila mendapat gambar insiden yang dikirimkan pada Jumaat.

"Syarikat produksi itu tidak memaklumkan apa-apa berkenaan tujuan mereka di sini termasuk mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk menjalankan sebarang penggambaran," katanya.

Sinar Harian sedang mendapatkan maklumat daripada polis sama ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan daripada mana-mana pihak setakat ini.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28