MBI senarai hitam penganjur, peniaga sewakan lot bazar Ramadan

Rumaizi (kanan) meninjau Jualan Rahmah Madani yang diadakan di pekarangan bangunan MBI pada Jumaat.
Rumaizi (kanan) meninjau Jualan Rahmah Madani yang diadakan di pekarangan bangunan MBI pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Penganjur dan peniaga yang dikesan menyewakan tapak bazar Ramadan kepada pihak lain akan dikenakan tindakan tegas termasuk disenarai hitam, kata Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Beliau berkata, mereka yang terlibat juga akan dikenakan kompaun yang tinggi selain dihalang daripada mengikuti mana-mana penganjuran bazar Ramadan tahun berikutnya.

"Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengambil serius perkara ini dan akan melaksanakan tindakan tegas sepertimana DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur).

"Walaupun tahun lepas kita tidak terima aduan kes tersebut, namun berdasarkan rekod 2022, kita pernah ambil tindakan atas kesalahan ini.

"Jadi dengan aduan itu kita telah ketatkan syarat-syarat kepada penganjur dan peniaga," katanya kepada pemberita sempena Sesi Cabutan Bertuah Cukai Taksiran MBI 2024 di sini pada Jumaat.

Rumaizi berkata, langkah tegas itu perlu bagi memastikan tiada mana-mana pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan menyewakan tapak pada kadar bayaran lebih tinggi.

Rumaizi menyempurnakan Sesi Cabutan Bertuah Cukai Taksiran MBI 2024 pada Jumaat.
Rumaizi menyempurnakan Sesi Cabutan Bertuah Cukai Taksiran MBI 2024 pada Jumaat.

Katanya, tahun ini, kadar bayaran ditetapkan bagi bazar Ramadan di kawasan seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu adalah tidak lebih RM750 termasuk sewa khemah, lesen dan pembersihan.

Artikel Berkaitan:

"Tahun ini sebanyak 1,268 lot niaga disediakan di 24 lokasi seluruh Ipoh membabitkan 1,128 peniaga.

"Pengurusan bazar dikendalikan penganjur terdiri daripada persatuan-persatuan penjaja, koperasi usahawan, jawatankuasa masjid dan surau serta agensi swasta.

"Kebanyakan mereka mengenakan bayaran sehingga RM650 sahaja iaitu berpatutan dan membantu peniaga," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, tiga lokasi di Ipoh turut dipilih sebagai penganjuran bazar Ramadan Rahmah di bawah seliaan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak.

"Satu daripada bazar berkenaan akan diadakan di Taman Cempaka, dua lagi belum diputuskan kerana masih dalam peringkat akhir perbincangan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Rumaizi berkata, tawaran pelbagai hadiah cabutan bertuah berjaya melonjakkan kutipan cukai taksiran sehingga 15 peratus kepada RM64.43 juta tahun ini berbanding RM51.38 juta tahun sebelumnya.

Katanya, rebat RM5 yang disediakan kepada 20,000 pembayar awal juga telah habis digunakan sejak awal Januari lepas.

"Alhamdulillah, tahun ini kita capai peningkatan yang baik, tahun lalu merekodkan 112,277 pembayar cukai, tahun ini ada kenaikan kepada 129,635," katanya.

Tahun ini MBI menawarkan 200 cabutan bertuah termasuk wang tunai dengan hadiah utama sebuah kereta Perodua Axia 1.0, empat motosikal, tablet, jam tangan pintar jenama Apple dan televisyen.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28