Sedia tangki statik di bazar Ramadan sekitar Papar

Penduduk diagihkan bekalan air melalui tangki air yang dihantar ke kawasan kampung sekitar Papar.
Penduduk diagihkan bekalan air melalui tangki air yang dihantar ke kawasan kampung sekitar Papar.
A
A
A

PAPAR - Pejabat Parlimen Papar akan menyediakan tangki statik di kawasan bazar Ramadan sekitar Papar bagi memudahkan penduduk yang terjejas mendapatkan bekalan air dengan lebih mudah sepanjang bulan puasa ini.

Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali berkata, lebih 50,000 penduduk Papar terjejas susulan Loji Rawatan Air (LRA) Limbahau tidak beroperasi lebih 20 hari disebabkan kadar kemasinan telah masuk ke muka sauk loji tersebut.

Menurutnya, usaha itu sebagai salah satu penyelesaian jangka pendek bagi memudahkan penduduk di daerah itu mendapatkan bekalan air terutama sepanjang Ramadan yang dijangka bermula Selasa ini.

"Saya telah minta pada bulan Ramadan ini di kawasan bazar-bazar besar di Papar ini untuk dihantar lori air atau diletakkan tangki statik untuk kegunaan pengusaha dan penduduk yang datang ke bazar.

"Mereka boleh mendapatkan bekalan air untuk dibawa balik ke rumah masing-masing, jadi saya akan bekerjasama dengan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di bawah Parlimen Papar untuk memberikan bekalan air di bazar ramadan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan PJR Madani di Padang Kawad Pasukan Gerakan Am (PGA) Kinarut, di sini pada Ahad.

Armizan ketika ditemui pemberita selepas melancarkan PJR Madani di Padang Kawad Pasukan Gerakan Am (PGA) Kinarut, Papar.
Armizan ketika ditemui pemberita selepas melancarkan PJR Madani di Padang Kawad Pasukan Gerakan Am (PGA) Kinarut, Papar.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penyelesaian jangka pendek isu bekalan air yang melanda Papar ketika ini sejak hampir sebulan lalu.

Mengulas lanjut, beliau juga memaklumkan terdapat 10 tangki statik disediakan bagi memudahkan orang ramai mendapatkan air selain kerja-kerja pengedaran air dilakukan setiap hari di kawasan yang terjejas.

Artikel Berkaitan:

"Insya-ALLAH kita akan tambah (tangki statik) sebenarnya sejak Mac tahun lalu kita juga berhadapan dengan masalah yang sama dan serta-merta kita cari peruntukan melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi pemasangan tangki statik ke 10 kawasan pada masa itu.

"Jadi ini memudahkan kerja kita tahun ini dengan pantas kita hantar air ke tangki statik itu, cuma harapan rakyat minta dihantar ke depan pintu rumah itu kita belum mampu.

"Kita hantar dulu ke lokasi awam seperti surau, masjid dan gereja untuk penduduk ambil air di sana," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!