Ibu bapa perlu beri penekanan aspek keselamatan dalam talian terhadap anak-anak - Fahmi

Fahmi Fadzil (tiga dari kiri) beramah mesra bersama para penerima sumbangan Kembali ke Sekolah pada Program ‘Back To School’ Bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Shopee di PPR Sri Pantai, hari ini. Foto Bernama
Fahmi Fadzil (tiga dari kiri) beramah mesra bersama para penerima sumbangan Kembali ke Sekolah pada Program ‘Back To School’ Bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Shopee di PPR Sri Pantai, hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Aspek keselamatan dalam talian khususnya, kepada kanak-kanak di bawah umur 13 tahun perlu diberikan penekanan oleh ibu bapa, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, ibu bapa juga perlu sentiasa memantau akaun media sosial anak mereka kerana pada usia sedemikian, dikhuatiri mereka akan mudah terpengaruh dengan budaya yang tidak sesuai.

"Kalau ada anak-anak di bawah 13 tahun, larang mereka daripada memiliki akaun media sosial kerana kita lihat mereka pada usia (itu) cukup mudah mengikut trend-trend tertentu dan dari segi pembangunan mental, masih banyak yang mereka perlu lalui,” katanya.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program Kembali Ke Sekolah Bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan Shopee di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Pantai di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Bahagian Transformasi dan Koordinasi Negeri MCMC Bukhari Yahya dan Pengarah MCMC Wilayah Persekutuan Hanita Izam Abdul Rahman serta 200 penerima program berkenaan.

Dalam pada itu, Fahmi turut memaklumkan pihaknya akan bertemu dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara itu selain meneliti beberapa usaha sama yang akan dijalankan.

Beliau berkata, Kementerian Komunikasi juga akan mencadangkan satu kempen kesedaran diadakan di sekolah yang akan disertai bersama-sama pengendali platform media sosial.

"Rata-rata saya lihat, pihak media sosial bersedia melakukan aktiviti CSR (tanggungjawab sosial korporat) bersama-sama pihak kementerian untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan murid-murid agar mereka faham dan tidak main media sosial pada usia yang muda,” katanya.

Artikel Berkaitan:

"Insya-ALLAH kita akan bincangkan bentuk penyelesaian segera dan yang bersifat berpanjangan yang boleh dilakukan,” katanya.

Fahmi turut memaklumkan beliau telah mengadakan pertemuan bersama wakil Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) di Parlimen minggu lepas dan mempunyai beberapa rancangan untuk menjayakan kempen kesedaran dalam kalangan guru, ibu bapa dan murid mengenai aspek keselamatan dalam talian.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, MCMC telah menyekat akaun individu yang menyebarkan ajaran The Ahmadi Religion of Light and Peace di media sosial selain telah berhubung dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berhubung isu berkenaan.

"Saya semak pagi tadi akaun itu sudah tidak boleh diakses. Sebelum ini, pihak MCMC memaklumkan mereka mendapat pandangan dan laporan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengenai ajaran sesat itu.

"Ada beberapa tindakan yang telah diambil termasuk siasatan untuk pastikan bukti-bukti ini tidak terjejas. Jadi setelah beberapa perkara dilakukan, pihak MCMC mendapat kebenaran daripada Menteri Hal Ehwal Agama dan hari ini saya lihat akaun itu tidak boleh lagi diakses," katanya.

Pada Khamis lepas (7 Mac), Mohd Na’im dilaporkan Ajaran The Ahmadi Religion of Light and Peace adalah bertentangan dengan syariat Islam selain pihaknya akan memastikan semua kandungan di media sosial mengenai ajaran itu diturunkan seberapa segera bagi mengelakkan masyarakat daripada terpengaruh. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28