Masih ramai ibu bapa beli kelengkapan sekolah saat akhir

Kelangkalan persekolahan seperti uniform sekolah masih boleh didapati di pasar raya. (Gambar kecil: Mohd Rizal Azuar, Hazlini, dan Mariyah)
Kelangkalan persekolahan seperti uniform sekolah masih boleh didapati di pasar raya. (Gambar kecil: Mohd Rizal Azuar, Hazlini, dan Mariyah)
A
A
A

JOHOR BAHRU - Menjelang pembukaan sesi persekolahan baharu Ahad ini, orang ramai khususnya ibu bapa dilihat sibuk membuat persiapan terakhir mendapatkan kelengkapan termasuk membeli baju sekolah.

Tinjauan Sinar Harian di sekitar Johor Bahru pada Jumaat mendapati rata-rata membuat pembelian di saat-saat akhir susulan kekangan masa sehingga menyebabkan mereka mengambil peluang cuti hujung minggu bagi mendapatkan kelengkapan sekolah anak-anak.

Ibu bapa membantu anak mencuba pakaian sekolah baharu
Ibu bapa membantu anak mencuba pakaian sekolah baharu



Seorang doktor gigi, Mohd Rizal Azuar Sulaiman, 52, berkata, dia memilih untuk membeli kelengkapan persekolahan anak-anak pada saat-saat akhir disebabkan kekangan masa.

Menurutnya, biarpun pembelian dibuat pada saat-saat akhir, namun dia berpuas hati kerana dapat membeli kesemua kelengkapkan yang diperlukan.

"Kami sebenarnya bukan sengaja buat pembelian 'last minute'(saat akhir) macam ni, tapi disebabkan masa... terlalu singkat dan suntuk.

"Macam saya, sekarang ini lah baru free (senang) sikit, jadi bolehlah bawa anak-anak beli baju dan kelengkapan sekolah yang lain," katanya.

Bagi seorang ahli perniagaan, Hazlini Bakar, 50, dia memilih untuk membeli kelengkapan sekolah anak-anaknya pada saat akhir susulan jadual hariannya yang agak padat.

Bagaimanapun katanya, dia tetap bersyukur kerana mampu menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anaknya menjelang pembukaan sesi persekolahan Ahad ini.

"Alhamdulillah saya berjaya dapatkan pakaian dan kelengkapan persekolahan anak-anak walaupun pada saat-saat akhir.

Artikel Berkaitan:

"Memang mencabar jugalah sebab pada masa sama kita nak sambut puasa dan kemudian raya... tapi dalam keadaan ini, saya lebih utamakan untuk perbelanjaan persekolahan anak-anak, persiapan raya tu kemudianlah," katanya.

Sementara itu, eksekutif perbankan, Mariyah Ahmad, 39, berkata, dia lega kerana telah mendapatkan kelengkapan persekolahan anaknya lebih awal sebelum ini.

Bagaimanapun, dia terlepas padang mengenai kasut yang bakal di pakai anaknya itu ke sekolah nanti.

"Anak saya akan memasuki Tahun Tiga bila buka sekolah nanti dan alhamdulillah baju sekolah semua saya dah sediakan, tapi terlepas pandang kasut sekolah pula.

"Lega rasanya, apabila saiz kasut anak saya masih ada.. walaupun terpaksa membuat pembelian saat-saat akhir macam ni," ujarnya.