RoS perlu luluskan segera pindaan perlembagaan Bersatu - Dr Sahruddin

Dr Sahruddin
Dr Sahruddin
A
A
A

JOHOR BAHRU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor menggesa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) untuk segera meluluskan pindaan perlembagaan parti itu bagi membolehkan tindakan tegas dikenakan kepada ahlinya yang menyokong pihak lawan.

Ia susulan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari yang merupakan bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor, yang dilaporkan mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari pada Rabu.

Pengerusinya, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, tindakan Abdul Rashid itu disifatkan agak mengejutkan buat parti.

"Saya baru tahu berita ini melalui media. Cuma saya berasa agak sedih di kala semua rakyat tertekan akibat tindakan Kerajaan Perpaduan seperti isu kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), harga barang yang terus meningkat, isu beras tempatan dan minyak peket subsidi yang menghilang, namun masih ada ADUN Perikatan Nasional (PN) yang menyatakan sokongan kepada pihak lawan

"Saya harap pindaan yang dibuat Bersatu dapat diluluskan segera oleh RoS, agar tindakan lebih tegas dapat dikenakan kepada wakil rakyat Bersatu yang berpaling tadah," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Dr Sahrudin yang merupakan bekas Menteri Besar Johor dan ADUN Bukit Kepong memberitahu sokongan daripada Ahli Parlimen dan ADUN Bersatu kepada parti tidak pernah goyah.

"Selain saya, seorang lagi ADUN Bersatu dari DUN Endau, Alwiyah Talib masih kukuh dan kekal menyokong pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin," katanya.

Pada Sabtu, Bersatu dilaporkan meluluskan Perkara 10 perlembagaan parti itu selepas mendapat sokongan 1,956 perwakilan yang hadir pada Perhimpunan Agung Khas di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Selayang.

Artikel Berkaitan:

Pindaan perlembagaan itu dibuat susulan tindakan enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Ia membabitkan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

@sinarharianonline

RoS perlu luluskan segera pindaan perlembagaan Bersatu - Dr Sahruddin #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Semasa #Nasional #Politik #RoS #Bersatu #ADUN #Selangor

Earned It (Fifty Shades Of Grey) - A Tribute to The Weeknd - Saxtribution