Pindaan perlembagaan sekat MP Bersatu daripada terus dibeli - Muhyiddin

Muhyiddin ketika berucap pada Perhimpunan Agung Bersatu 2024 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Selayang pada Sabtu.
Muhyiddin ketika berucap pada Perhimpunan Agung Bersatu 2024 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Selayang pada Sabtu.
A
A
A

SELAYANG - [DIKEMAS KINI] Pindaan perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dibuat pada Sabtu akan dapat menghalang usaha kerajaan daripada terus 'membeli' ahli Parlimen parti itu.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia sebagaimana yang didedahkan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan di Dewan Rakyat pada Rabu lalu.

"Beliau (Wan Saiful) dapat pelbagai tawaran daripada kerajaan, namun satu sen pun beliau tidak ambil.

"Sedangkan kerajaan dah ada majoriti dua pertiga tapi masih nak cari lagi (sokongan), kerana tahu mereka tidak sekukuh mana," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Agung Bersatu 2024 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Selayang.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pagoh menjelaskan bahawa keputusan pindaan perlembagaan Bersatu itu juga akan menghentikan keenam-enam ahli Parlimen parti berkenaan beralih sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, apabila mana-mana ahli Parlimen beralih sokongan maka kerusi mereka perlu dikosongkan selaras dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

Ujar beliau, melalui perlembagaan sedia ada, kepimpinan Bersatu hanya boleh menggantung keahlian keenam-enam ahli Parlimen berkenaan dan ia sama sekali tidak akan memberi kesan terhadap kerusi yang dimenangi.

Artikel Berkaitan:

“Pindaan perlembagaan bertujuan menyelaraskan peruntukan perlembagaan Bersatu dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan mengenai undang-undang anti lompat parti.

“Jadi kita pulangkan semula mandat kepada rakyat di enam buah kawasan.

“Saya yakin dengan pelbagai penipuan dan kegagalan Kerajaan Madani, Perikatan Nasional (PN) akan menang besar di semua kerusi ini, insya-ALLAH,” ujarnya.

Enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Anwar ialah Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang); Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28