Bersatu nafi lima ADUN alih sokongan kepada kerajaan Selangor

Dr Afif Bahardin
Dr Afif Bahardin
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menafikan dakwaan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu-Perikatan Nasional (PN) di Selangor isytihar alih sokongan kepada kerajaan negeri.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Afif Bahardin ketika dihubungi berkata, laporan disiarkan portal pro Pakatan Harapan itu hanya sekadar persepsi mereka sendiri.

"Sendiri buat persepsi," ujarnya ketika diminta mengulas mengenai dakwaan mengatakan lima ADUN Bersatu-PN bakal memberikan sokongan mereka kepada kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Terdahulu, menurut sumber seperti dilaporkan portal pro PH pada Rabu, kumpulan tersebut akan diketuai oleh seorang bekas Pengerusi Bersatu Selangor.

Menurut portal itu lagi, semakan menunjukkan bekas pengerusi Bersatu Selangor yang merupakan seorang ADUN ialah Datuk Abdul Rashid Asari iaitu ADUN Selat Kelang.

Menurut satu lagi sumber, baki empat ADUN yang akan turut menyokong ialah ADUN Jeram, Datuk Harrison Hassan; ADUN Batang Kali, Muhammad Muhaimin Harith Abdullah Sani; ADUN Sungai Kandis, Wan Dzahanurin Ahmad dan ADUN Dengkil, Jamil Salleh.

Wakil keenam Bersatu yang turut dikatakan akan menyokong Amiruddin ialah ADUN Morib, Rosnizan Ahmad namun beliau dikatakan belum membuat ketetapan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan: