[VIDEO] ADUN Bersatu isytihar sokong MB Selangor

A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Menurut Abdul Rashid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, keputusan itu dibuat selepas meneliti perkembangan semasa dan mengambil kira beberapa faktor utama.

"Keputusan ini dibuat dengan rela hati tanpa sebarang paksaan setelah saya meneliti titah ucapan Sultan Selangor yang memuji pentadbiran kerajaan Selangor berada di landasan tepat, demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat," katanya dalam satu kenyataan seperti disebarkan menerusi aplikasi WhatsApp pada Rabu.

Abdul Rashid
Abdul Rashid

Menerusi kenyataan sama, Abdul Rashid turut berkata, beliau mengambil keputusan itu bagi memastikan kesejahteraan rakyat negeri Selangor terutama penduduk di kawasan DUN Selat Klang yang akan menerima manfaat dari kerajaan yang stabil serta padu.

Bagaimanapun, Abdul Rashid berkata, beliau kekal komited sebagai ahli Bersatu dan akan terus berkhidmat sebagai ADUN Selat Klang.

Dalam masa sama, Sinar Harian turut menghubungi Abdul Rashid bagi mendapatkan penjelasan lebih lanjut, namun masih belum mendapat respons balas daripada ADUN terbabit berkait perkembangan tersebut.

Terdahulu, Bersatu menafikan dakwaan lima ADUN Bersatu-Perikatan Nasional (PN) di Selangor isytihar alih sokongan kepada kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Afif Bahardin juga ADUN Taman Medan berkata, laporan disiarkan portal pro-Pakatan Harapan itu hanya sekadar persepsi mereka sendiri.

Sementara itu menurut sumber seperti dilaporkan portal pro-PH pada Rabu, kumpulan tersebut akan diketuai oleh seorang bekas Pengerusi Bersatu Selangor.

Menurut portal itu lagi, semakan menunjukkan bekas Pengerusi Bersatu Selangor yang merupakan seorang ADUN ialah Datuk Abdul Rashid Asari iaitu ADUN Selat Kelang.

Langkah itu diambil selepas ADUN terbabit didakwa 'bengang' dengan sikap Pengerusi Perikatan Nasional Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kerana membuli mereka dalam mesyuarat Perikatan Nasional.

Menurut satu lagi sumber, baki empat ADUN yang akan turut menyokong ialah ADUN Jeram, Datuk Harrison Hassan; ADUN Batang Kali, Muhammad Muhaimin Harith Abdullah Sani; ADUN Sungai Kandis, Wan Dzahanurin Ahmad dan ADUN Dengkil, Jamil Salleh.

Wakil keenam Bersatu yang turut dikatakan akan menyokong Amiruddin ialah ADUN Morib, Rosnizan Ahmad, namun beliau dikatakan belum membuat ketetapan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28