Pindaan Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia dibentang di Parlimen minggu depan

Azalina (dua dari kiri) bersama wakil Tabung Kanak-Kanak UNICEF ke Malaysia Robert Gass (kiri) melawat reruai UNICEF sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia 2023 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Azalina (dua dari kiri) bersama wakil Tabung Kanak-Kanak UNICEF ke Malaysia Robert Gass (kiri) melawat reruai UNICEF sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia 2023 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pindaan Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 antaranya bagi menubuhkan Suruhanjaya Kanak-Kanak Malaysia,dijangka dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat minggu depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, beliau optimis bacaan kali pertama rang undang-undang itu dapat dibentangkan sebelum Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen ke-15 ini menutup tirai pada 30 November.

"Selepas Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 selesai, kami ada tiga hari untuk pembentangan rang undang-undang lain, jadi kami cuba juga pada sesi kali ini, ada masa untuk pastikan bacaan kali pertama dapat kami lakukan.

"Bagaimanapun, buat masa ini, kami tumpu sehingga Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 selesai dan diluluskan Parlimen," katanya kepada pemberita selepas meninjau Pameran Hari Kanak-Kanak Sedunia sempena sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia 2023 pada Isnin.

Pada masa sama, Azalina berharap semua pihak bersatu hati dalam hal dan isu berkaitan perlindungan serta hak kanak-kanak yang dibawa ke Dewan Rakyat mahupun Dewan Negara.

"Saya berpendapat isu mengenai golongan rentan terutama kanak-kanak perlu dijadikan realiti dengan penyertaan Ahli Parlimen daripada kedua-dua belah pihak...Anda perlu bersatu padu demi kanak-kanak," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: