Pantai Cahaya Bulan bakal dinaik taraf

Pantai Cahaya Bulan antara lokasi menarik untuk dikunjungi di negeri ini.
Pantai Cahaya Bulan antara lokasi menarik untuk dikunjungi di negeri ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Kawasan perniagaan jagung rebus di Penambang, Pantai Cahaya Bulan (PCB) dan Pantai Mek Mas yang menjadi antara lokasi tumpuan dekat sini bakal dinaik taraf dalam masa terdekat.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, ketiga-tiga lokasi berkenaan akan dihidupkan untuk lebih menggamit kedatangan pelancong sempena Tahun Melawat Kelantan dan Tahun Melawat Malaysia 2020.

Menurutnya, sebagai contoh gerai menjual jagung sekitar jalan utama di Penambang menuju ke PCB itu kini diusahakan secara tradisional oleh penduduk tempatan akan dijalankan secara lebih tersusun.

“Kerajaan berhasrat untuk wujudkan satu bangunan khas lebih selesa dan kalau boleh jagung rebus yang dijual sebelum ini akan dimasak menggunakan cara kukus untuk meningkatkan aspek kebersihan.

“Setakat ini ia diusahakan oleh sembilan peniaga dan saya bercadang untuk menambah tiga lagi penjual dan diajar dengan cara promosi lebih baik,” katanya kepada media semalam.

Dr Izani (kanan) bermesra bersama mereka yang menghadiri Majlis Angkat Sumpah Penerimaan Jawatan Ahli Majlis MPKB-BRI Tahun 2020 di Dewan Bunga Raya semalam.
Dr Izani (kanan) bermesra bersama mereka yang menghadiri Majlis Angkat Sumpah Penerimaan Jawatan Ahli Majlis MPKB-BRI Tahun 2020 di Dewan Bunga Raya semalam.

Terdahulu beliau menghadiri Majlis Angkat Sumpah Penerimaan Jawatan Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) Tahun 2020 di Dewan Bunga Raya.

Selain itu, katanya, kawasan PCB juga akan digemilangkan kembali dengan kelengkapan infrastruktur, keceriaan dan juga naik taraf kebersihan.

Artikel Berkaitan:

“Kita juga akan membangunkan satu lagi pusat rekreasi iaitu di Pulau Kundor dengan menghiasinya menggunakan konsep tradisional dan infrastruktur lengkap untuk menarik pengunjung,” katanya.

Katanya, tidak terkecuali di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijang juga terkenal dengan industri batik dan pemprosesan keropok oleh penduduk setempat sejak sekian lama yang memerlukan ia dinaiktaraf.

“Aktiviti penduduk ini menjadi tarikan kepada pengunjung dari luar dan dalam negeri untuk melihatnya secara lebih dekat.

“Kita akan bangunkan untuk lebih menarik kunjungan pelbagai pihak termasuk tingkatkan proses menjemur keropok,” katanya.

Katanya, perkara yang dinaik taraf itu bukan sahaja membawa kebaikan terhadap sektor pelancongan bahkan secara langsung dapat membantu meningkatkan ekonomi penduduk miskin di kawasan tersebut.