Dakwaan notis perhimpunan enggan diterima akan diteliti - KPN

Razarudin (tengah) menyerahkan kunci rumah kepada penerima pada Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Polis Bandar Sultan Suleiman di Balai Polis Bandar Sultan Suleiman, Klang hari ini. Foto Bernama
Razarudin (tengah) menyerahkan kunci rumah kepada penerima pada Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Polis Bandar Sultan Suleiman di Balai Polis Bandar Sultan Suleiman, Klang hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KLANG - Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata beliau akan meneliti semula dakwaan bahawa polis enggan menerima notis perhimpunan daripada Jawatankuasa Penganjur Women’s March Malaysia (WMMY) 2024.

Bagaimanapun beliau berkata, keengganan polis menerima notis perhimpunan yang dihantar Jawatankuasa Penganjur WMMY 2024 mungkin disebabkan penganjur gagal memenuhi syarat ditetapkan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736).

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Polis Bandar Sultan Suleiman Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara di sini hari ini.

Razarudin berkata, setiap tindakan yang diambil pihak polis semestinya berdasarkan peruntukan undang-undang dan sebarang penganjuran perhimpunan perlu mengambil kira aspek ketenteraman awam dan keselamatan nasional.

"Umum faham bawah Perkara 10 (Perlembagaan Persekutuan) berkenaan hak asasi untuk berhimpun tetapi ada undang-undang yang diperuntukkan kepada pihak berkuasa bagi mengimbangi di antara hak asasi dan ketenteraman awam serta keselamatan nasional.

Polis ada hak untuk menentukan syarat-syarat berhimpun, antaranya syaratnya mungkin kita minta dia (penganjur) buat di tempat lain atau jika tuan tanah tidak beri kebenaran (untuk berhimpun)... itu semua antara syarat-syarat yang penganjur perlu patuhi," katanya.

Sebelum ini jawatankuasa penganjur WMMY 2024 mendakwa pihaknya telah berusaha memohon kebenaran untuk mengadakan perhimpunan itu selama empat kali dan pihak polis enggan menerima notis perhimpunan yang diserahkan. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan: