Penganjur himpunan perlu fahami akta lebih mendalam - KPN

Razarudin (tiga dari kiri) ketika merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Polis Bandar Sultan Suleiman, IPD Klang Utara di Klang pada Isnin.
Razarudin (tiga dari kiri) ketika merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Polis Bandar Sultan Suleiman, IPD Klang Utara di Klang pada Isnin.
A
A
A

KLANG - Tiada permit diperlukan untuk sebarang himpunan namun pihak penganjur perlu mengemukakan notis penganjuran lima hari sebelum berlangsung.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, penganjur himpunan perlu jelas berkaitan peruntukan Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Seksyen 9 (1) akta terbabit jelas menyatakan bahawa mana-mana pihak yang ingin mengadakan himpunan perlu hantar notis makluman lima hari, jika dahulu memang 10 hari dan ia telah dipinda.

"Peraturan itu sememangnya perlu dipatuhi yang mana Seksyen 10 akta berkenaan juga mengkehendaki penganjur mesti mengisi borang yang mana dalamnya terkandung 14 soalan dan perlu diisi sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Polis Bandar Sultan Suleiman, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara di sini pada Isnin.

Katanya, sekiranya dilihat secara keseluruhan Akta Perhimpunan Aman 2012 sudah terkandung berkaitan hukuman dan tindakan sekiranya peruntukan terbabit diingkari.

"Perkara ini sudah jelas, memang jika kita lihat Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan berkaitan menjamin hak asasi, itu saya jelas.

"Tetapi kena lihat juga Perkara 10 (2) yang disebut berkaitan Parlimen boleh meminda sebarang undang-undang dalam mengimbangi antara hak asasi dengan kepentingan awam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pihak polis sentiasa mengikuti apa yang terkandung dalam peruntukan Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Syarat yang terkandung adalah mesti ada pemberitahuan, jangan lagi dua hari nak buat, baru nak maklum menerusi WhatsApp.

"Kita perlu buat penyelarasan dari segi anggota agar berjalan lancar, apa yang penting tidak menyekat kebebasan orang lain nak kerja dan sebagainya," katanya.

Media melaporkan pada Isnin berkaitan seorang bekas ahli Parlimen PKR menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Ketua Polis Negara berkaitan himpunan yang didakwa tidak lagi mempunyai permit ketika ini.

Maria Chin Abdullah berkata, penganjur demonstrasi hanya perlu memaklumkan polis terlebih dahulu sebelum berhimpun.

Beliau mengulas berkaitan perkara itu selepas mendakwa pihak polis enggan menerima notis Jawatankuasa penganjuran Women’s March Malaysia (WMMY) 2024 yang dijadualkan di Kuala Lumpur, Sabtu ini.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28