PDRM perlu perkemas kaedah permohonan anjur himpunan

Maria Chin
Maria Chin
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain perlu memperkemaskan kaedah Polis Diraja Malaysia (PDRM) menangani permohonan penganjuran perhimpunan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

Bekas Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Maria Chin Abdullah berkata, ia bagi memastikan rakyat dapat melaksanakan hak dan kebebasan dalam menganjurkan apa-apa himpunan.

Menurut beliau, PDRM turut disarankan supaya dilatih semula mengenai kaedah menanganinya dan mempunyai pemahaman lebih lengkap tentang hak asasi manusia dalam sesebuah masyarakat demokrasi.

“Saya amat prihatin mendengar berita bahawa polis tidak mahu menerima notis penganjur himpunan Hari Wanita 'Women March Malaysia 2024'.

“Perkara 10 di bawah Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan rakyat untuk bercakap, berhimpun dan berpersatuan. Akta Perhimpunan Aman 2012 melaksanakan serta memudahkan hak ini.

“Di bawah akta tersebut, penganjur hanya perlu memberitahu ketua polis daerah (OCPD) mengenai perhimpunan yang ingin diadakan dan tidak mempunyai kuasa untuk menolak,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau mengulas laporan media tempatan berhubung jawatankuasa penganjuran Women’s March Malaysia 2024 mengecam tindakan polis yang didakwa enggan menerima notis bagi acara berkenaan mengikut peruntukan akta berkenaan.

Jawatankuasa terbabit berkata, pihaknya telah berusaha sebanyak empat kali pada 2 dan 3 Mac lalu untuk menyerahkan notis, namun tidak berjaya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Maria Chin yang juga mantan ahli Parlimen Petaling Jaya menegaskan bahawa keperluan memiliki ‘permit polis’ tidak lagi terpakai di bawah akta berkenaan.

Justeru ujarnya, sudah tiba masa untuk pihak berwajib membiasakan diri dengan akta tersebut dan keengganan menerima notis daripada penganjur himpunan wanita tidak boleh diterima pakai kerana ia dianggap melampaui bidang kuasa.

“Ini bukan kali pertama polis enggan menerima surat notis, satu lagi contoh yang berlaku baru-baru ini adalah semasa perhimpunan #KepungDemiPalestine pada Disember tahun lepas,” ulas beliau.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28