Malaysia, Australia meterai empat MoU

Anwar bersama rakan sejawatannya, Albanese menyaksikan pertukaran Instrumen Antarabangsa antara Kerajaan Malaysia dan Australia di Government House, Melbourne hari ini. Foto Bernama
Anwar bersama rakan sejawatannya, Albanese menyaksikan pertukaran Instrumen Antarabangsa antara Kerajaan Malaysia dan Australia di Government House, Melbourne hari ini. Foto Bernama
A
A
A

MELBOURNE - Malaysia dan Australia memeterai empat Memorandum Persefahaman (MoU) di sini pada Isnin dalam rangka lawatan rasmi Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Australia.

Dua daripada MoU itu ialah Pengaturan Praktikal di antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Australia untuk Kerjasama dalam Bidang Sains dan Teknologi dan Aplikasi untuk Pelaksanaan Perjanjian Pengharaman Ujian Nuklear Komprehensif (CTBT) serta Keselamatan Siber dan Teknologi Kritikal.

Dua lagi MoU yang boleh diperbaharui ialah kerjasama dalam bidang sukan dan kolaborasi dalam sektor pendidikan tinggi.

Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Luar Australia, Penny Wong masing-masing bertukar-tukar dokumen selepas selesai Mesyuarat Pemimpin Tahunan Malaysia-Australia di Government House, Victoria yang disaksikan oleh Perdana Menteri masing-masing, iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Anthony Albanese.

"Keempat-empat MoU sememangnya satu pencapaian penting dalam merencanakan satu masa hadapan yang progresif dan mereka (MoU) membuktikan hasil dan kejayaan yang bermakna daripada mesyuarat kami,” kata Anwar dalam sidang media bersama Albanese.

Anwar berkata, ada atlet lelaki dan wanita terkemuka Malaysia yang pada masa ini berlatih di Australia.

"Jadi, sekiranya mereka mencapai beberapa kejayaan di Olimpik, kami juga akan berikan penghargaan kepada Australia,” katanya.

Albanese berkata, MoU mengenai belia dan sukan itu akan menyediakan peluang besar kepada atlet muda Australia dan Malaysia generasi akan datang untuk berlatih dan membina keupayaan bersama-sama.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, MoU mengenai Perjanjian Komprehensif Pengharaman Ujian Nuklear akan membolehkan perkongsian data, pembinaan kapasiti dan pengawalan senjata nuklear Malaysia dan Australia.

Albanese berkata, dalam mesyuarat itu beliau dan Anwar juga membincangkan komitmen bersama mereka untuk menguruskan dengan lebih baik ancaman siber, dan melangkah ke hadapan Australia dan Malaysia akan berupaya melakukan libat urus dalam perkongsian maklumat dan pembangunan kemahiran siber dengan lebih menyeluruh selain mengadakan kerjasama erat dalam isu sempadan dan imigresen. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28