Anwar lakukan lawatan rasmi pertama ke Australia

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

MELBOURNE - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melakukan lawatan rasmi pertamanya ke Australia dan mengetuai delegasi Malaysia ke dua program utama iaitu Mesyuarat Pemimpin Tahunan Malaysia-Australia dan Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia.

Lawatan Anwar ke Australia atas jemputan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese itu, akan meliputi Melbourne yang bermula pada Ahad bagi menghadiri mesyuarat dan pertemuan penting, sebelum ke Canberra pada hari terakhir lawatannya pada 7 Mac.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia, Sharrina Abdullah berkata, lawatan itu mencatatkan satu perkembangan penting dalam kerjasama antara kedua-dua negara melalui platform dua hala dan pelbagai hala.

Beliau berkata, hubungan Malaysia dan Australia telah berkembang dari satu tahap ke satu tahap dan menjadi signifikan dengan penubuhan Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) sejak 2021.

"Kita berada dalam hubungan yang sangat baik dengan Australia,” katanya pada taklimat media menjelang lawatan Anwar pada Ahad.

Beliau berkata, hubungan baik Malaysia dan Australia amat ketara dalam aspek diplomatik, pendidikan dan sosial, terutamanya perdagangan dan pelaburan, yang menunjukkan kemajuan positif yang signifikan.

Sebagai contoh dalam pendidikan, beliau berkata, pada masa ini terdapat lebih 18,000 pelajar Malaysia berada di Australia dan paling ramai di Victoria dengan kira-kira 9,000 pelajar.

Sharrina berkata, lawatan itu menonjolkan keazaman kedua-dua negara dalam meningkatkan kerjasama dalam bidang utama, yang mempunyai kepentingan strategik dan komitmen bersama untuk memperdalamkan lagi hubungan diplomatik, ekonomi dan budaya antara Malaysia dan Australia.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai Mesyuarat Pemimpin Tahunan (ALM) Malaysia-Australia ke-2, Sharrina berkata, mesyuarat itu yang berlangsung pada Isnin (4 Mac), bertujuan meningkatkan kerjasama merentasi pelbagai sektor termasuk perdagangan, pelaburan, keselamatan dan kestabilan serantau.

Mesyuarat itu juga penting kerana buat pertama kalinya, ia akan diadakan secara fizikal, selepas sesi pertamanya pada 2021 diadakan secara maya berikutan pandemik Covid-19.

"Pada mesyuarat itu, kedua-dua pemimpin akan membincangkan langkah selanjutnya untuk meningkatkan spektrum kerjasama yang luas, disokong oleh rangka kerja Perkongsian Strategik Komprehensif, termasuk dalam perdagangan dan pelaburan, pendidikan, ekonomi digital dan keselamatan siber," katanya.

Sharrina berkata, antara isu yang akan dibangkitkan semasa mesyuarat dua hala Malaysia-Australia itu ialah pengukuhan institusi, termasuk berkaitan pertukaran Parlimen, integriti, upah, dan usaha pencegahan rasuah, dan kerjasama dalam bidang peralihan tenaga bersih.

Mengenai Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia 2024, beliau berkata, ia bersempena ulang tahun ke-50 Australia menjadi rakan dialog pertama ASEAN.

Ini merupakan kali kedua Australia menjadi tuan rumah kepada pemimpin negara anggota ASEAN di Australia. Kali pertama sidang itu diadakan di Sydney pada 2018.

"ASEAN dan Australia akan mengkaji semula keadaan semasa perkongsian ASEAN-Australia dan membincangkan peningkatan kerjasama sedia ada dalam pelbagai bidang, antaranya peralihan tenaga, pembangunan modal insan, integrasi ekonomi, dan kesalinghubungan maritim," katanya.

Sharinna berkata, Sidang Kemuncak Khas itu dijangka menerima pakai Pernyataan Visi Pemimpin ASEAN-Australia dan Deklarasi Melbourne, sebagai dokumen panduan untuk memajukan lagi hala tuju strategik perkongsian ASEAN-Australia.

Di Melbourne, Anwar akan mengadakan pertemuan meja bulat dan secara langsung dengan ketua-ketua industri, bagi menambah sinergi dalam mempercepatkan aktiviti perdagangan dan pelaburan, selain menyampaikan ucaptama di Invest ASEAN-Melbourne 2024.

Anwar juga akan bertemu Perdana Menteri Thailand dan New Zealand di luar sidang kemuncak khas itu, selain bertemu diaspora Malaysia.

Perdana Menteri juga akan menyaksikan pemeteraian beberapa memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang utama seperti pendidikan tinggi, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta penyelidikan, belia dan sukan, keselamatan siber, dan pengaturan praktikal berkaitan kerjasama dalam bidang sains dan teknologi serta aplikasinya, untuk pelaksanaan Perjanjian Pengharaman Ujian Nuklear Komprehensif (CTBT).

Semasa di Canberra, Anwar dijadual menyampaikan syarahan umum di Universiti Kebangsaan Australia (ANU) dan mengadakan pertemuan dengan Gabenor Jeneral Komanwel Australia David Hurley pada 7 Mac.

Sharrina berkata, lawatan itu dijangka membuahkan hasil yang signifikan dalam perjanjian dua hala, memorandum persefahaman dan inisiatif bersama, yang akan mengukuhkan lagi perkongsian teguh dan dinamik antara Malaysia dan Australia.

"​Lawatan ini bukan sahaja menjadi bukti kepada persahabatan sejak sekian lama antara kedua-dua negara, tetapi juga menjadi pentas untuk lembaran baharu kerjasama yang dipertingkatkan, saling menghormati dan berkongsi kemakmuran antara Malaysia dan Australia, dalam platform dua hala dan pelbagai hala," katanya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28