KWSP, Khazanah hentikan usaha kerjasama dengan GIP - Wan Ahmad Fayhsal

Wan Ahmad Fayhsal (kiri) dan Mohamad.
Wan Ahmad Fayhsal (kiri) dan Mohamad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa menghentikan sebarang usaha dibuat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) membentuk konsortium bersama syarikat pengeluar senjata untuk Israel, Global Infrastructure Partners (GIP) bagi memiliki pegangan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mendakwa, GIP milik penuh syarikat pelaburan Amerika Syarikat, Blackrock, adalah pemegang saham kepada semua syarikat pembekal senjata yang membunuh rakyat Palestin di Gaza.

Beliau menegaskan, ketika kerajaan terus lantang menyuarakan keadilan buat rakyat Palestin dan mengecam Israel, tindakan membenarkan syarikat itu memiliki dan mengurus MAHB menerusi pembentukan konsortium amat tidak wajar.

“Saya minta komitmen Wisma Putra dan 'backbencher' kerajaan untuk sama-sama membantah pendekatan yang dibuat Khazanah dan KWSP untuk menjual pegangan MAHB kepada GIP yang dimiliki oleh Blackrock.

"Apa guna kita bercakap di PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) tetapi di belakang kuat bersekongkol dengan orang yang membunuh rakyat Palestin," katanya ketika bangkit mengajukan soalan tambahan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin ketika menjawab perkara itu menjelaskan, pihaknya belum mendapat maklumat rasmi berkaitan isu berkenaan dan ia di luar bidang kuasa Wisma Putra.

"Kementerian Luar akan mengambil tindakan perlu jika ia di bawah wilayah kementerian kita. Kalaulah wilayah itu di bawah Kementerian Luar, kita akan bagi pandangan kepada agensi yang terlibat.

"Contoh dalam Ops Ehsan yang ramai badan bukan kerajaan (NGO) tampil untuk membantu perjuangan Palestin, kita akan buat saringan, akomodasi nasihat dan pandangan dari semua agensi.

Artikel Berkaitan:

"Isu yang dibangkitkan (Wan Ahmad Fayhsal) ini kalau ada maklumat rasmi kita akan bagi pandangan di peringkat wilayah (kementerian) kita," jelasnya.

Sementara itu ketika menjawab soalan tambahan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang), Mohamad berkata, Malaysia sedia menyokong sebarang usul dibawa mana-mana pihak untuk menggantung keahlian Israel dalam apa juga pertubuhan antarabangsa sebagai tindak balas terhadap kekejaman rejim berkenaan.

Menurutnya, langkah sedemikian menjadi keperluan dan tindakan lebih tegas boleh diambil komuniti dan pertubuhan antarabangsa terhadap Israel.

"Malaysia akan ambil peluang menyuarakan di platform antarabangsa seperti PBB, OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan ASEAN, termasuk mengambil tindakan lebih tegas terhadap Israel sehingga menggantung keahliannya.

"Ini adalah satu opsyen yang boleh kita suarakan di platform pertubuhan antarabangsa yang mana Israel sebahagian ahli pertubuhan itu," ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28